Tegas, jujur, tak kedekut ilmu, berjiwa besar, itulah Sathianathan

Tegas, jujur, tak kedekut ilmu, berjiwa besar, itulah Sathianathan

B. SATHIANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tegas, di­siplin, tidak lokek ilmu dan mesra adalah antara sikap yang disegani pemain, rakan dan juga pengamal media apabila bercakap tentang figura individu bernama B. Sathianathan.

Tidak asing dalam arena bola sepak tempatan, pemergian bekas jurulatih Harimau Malaya itu pada usia 65 tahun satu kehilangan besar buat sukan negara.

Semalam Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.25 petang di Pusat Perubatan

Universiti Malaya (PPUM) selepas hampir setahun bertarung dengan kanser.

“Beliau telah bertarung dengan kanser selama hampir setahun dan dimasukkan ke hospital sejak dua atau tiga bulan lalu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.

Berkongsi kisah bersama Sathianathan adalah bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini bergelar jurulatih, Rezal Zambery Yahya dan merupakan Exco PJBM.

“Dia ketua yang tegas dan berdedikasi. Beliau juga tempat rujukan saya sepanjang menjadi jurulatih kerana ilmu yang dimiliki sangat mahal.

“Saya baru bercakap dengan dia dalam empat hari lalu. Dia beritahu berada di hospital dan ada beberapa perkara dibincangkan. Saya ingin melawat tetapi dia cakap buat masa ini tidak boleh menerima kunjungan pelawat,” kata Rezal kepada Utusan Malaysia.

Bekas penyerang sensasi negara, Hairuddin Omar turut berduka dengan pemergian Sathianathan dan menyifatkan mendiang jurulatih yang istimewa.

“Ilmu, teguran, nasihat yang beliau berikan kepada saya terlalu besar. Beliau jurulatih yang datang awal ke padang latihan setiap hari untuk checking (memeriksa) padang, potong rumput, bagi memastikan padang sentiasa terbaik untuk pemain melakukan latihan,” ujarnya.

Sementara itu, pemerhati sukan Rizal Hashim tidak ke­tinggalan berduka dan mengakui pemergian Sathianathan satu kehilangan besar untuk bola sepak negara.

“Kali pertama saya membuat liputan ketika beliau dilantik sebagai penolong jurulatih Negeri Sembilan kepada Josef Herel pada awal 90-an. Pada 1995 beliau jadi penolong jurulatih pasukan Piala Dunia Belia ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1997.

“Beliau lama menimba ilmu dalam FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sebagai penolong jurulatih dan akhirnya dilantik menjadi ketua jurulatih kebangsaan selepas memenangi Piala Merdeka dengan pasukan B-23 pada 2007,” ujarnya.

Sathianathan pernah me­nge­mudi skuad B-23 kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka 2007, seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga awal tahun 2009.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu turut menjadi jurulatih beberapa kelab tempatan antaranya Kelantan, ATM, Felda United, Selangor dan Sarawak United.

Dia pernah membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia, membantu ATM muncul juara Liga Perdana 2012 dan membimbing Felda United menjuarai Liga Perdana 2018.

Beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN