KEBIASAANNYA pemain bola sepak lebih berminat melabur dalam perniagaan restoran, fesyen, kereta mewah atau wangian.
Bagaimanapun bagi sesetengah pemain, mereka mengambil inisiatif untuk terus bergiat aktif dalam sukan dicintai dengan memiliki kelab bola sepak sendiri.
Tidak semua pemain menanti sehingga hujung karier mereka untuk melibatkan diri dalam pemilikan kelab.
Berikut 10 pemain yang sudah memiliki kelab bola sepak biarpun masih aktif.
JAMIE VARDY
(Rochester New York FC)
VARDY yang pernah menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Leicester City kini memiliki sebuah kelab bola sepak di Amerika Syarikat.
Bekas penyerang England itu membeli Rochester New York FC akan kembali dalam kancah Liga Bola Sepak Utama (MLS) selepas lima tahun menghilang.
Ia juga mungkin destinasi Vardy di hujung kariernya, dan tidak mustahil pemain berusia 36 tahun itu mampu meningkatkan keuntungan pasukan tersebut kerana stadium mereka, Padang John L. DiMarco hanya mampu menampung 1,500 penonton.
PABLO HERNANDEZ
(Castellon)
LEGENDA Leeds United, Pablo Hernandez melalui empat tahun yang gemilang di Elland Road sehingga 2021 sebelum membuat keputusan untuk menyertai kelab lamanya, Castellon di Sepanyol.
Empat tahun sebelum itu, Hernandez telah menubuhkan sebuah konsortium untuk membeli Castellon yang beraksi dalam divisyen keempat Liga Bola Sepak Sepanyol.
Pasukan yang diberikan julukan Los Orelluts itu berjaya memperbaiki kedudukan mereka sehingga beraksi dalam Segunda Division (Divisyen Kedua) untuk musim 2020/2021.
Hernandez, 38, turut beraksi sebagai pemain dan dia mempunyai kontrak sehingga 2024.
N’GOLO KANTE
(Royal Excelsior Virton)
KANTE mungkin baru menyertai juara Arab Saudi, Al-Ittihad tetapi dia masih mempunyai hubungan dengan kelab di Eropah selepas membeli pasukan divisyen tiga Belgium, Royal Excelsior Virton.
Bekas bintang Chelsea berusia 32 tahun itu mengambil alih pemilikan kelab daripada Flavio Becca kelmarin.
THOMAS PARTEY
(Alcobendas Sport)
BIARPUN situasi Partey di Arsenal masih tidak menentu, namun pemain tengah Ghana itu sudahpun merancang masa depannya dengan membeli kelab Sepanyol, Alcobendas Sport.
Partey, 30, yang menghabiskan tujuh tahun bersama Atletico Madrid menunjukkan rasa hormat kepada komuniti setempat dengan menjadi pemegang saham terbesar kelab divisyen tujuh liga bola sepak Sepanyol itu.
HECTOR BELLERIN
(Forest Green Rovers)
BELLERIN terkenal sebagai pemain bola sepak yang lantang dengan isu kemanusiaan.
Justeru kelab divisyen dua England, Forest Green Rovers yang dibeli oleh bekas tonggak pertahanan Arsenal itu memang sesuai dengan personalitinya. Dia kini beraksi buat Sporting CP di Portugal.
CESC FABREGAS
(Como)
LEGENDA Chelsea, Dennis Wise telah meyakinkan bekas bintang tengah Perancis, Arsenal, Chelsea dan Barcelona, Fabregas agar menyertai kelab Serie B, Como tahun lalu.
Fabregas, 36, amat menyukai kelab Itali itu sehingga memutuskan untuk membelinya. Setakat ini, pembeliannya itu menjana hasil positif selepas Como berjaya mengelak tersingkir ke Serie C.
CESAR AZPILICUETA
(Hashtag United)
BEKAS pertahanan Chelsea itu dijangka menyertai gergasi Serie A, Inter Milan, sekali gus membawanya jauh dari kelab yang dimilikinya ketika ini, Hashtag United yang berpangkalan di Basildon, England.
Kelab yang dibeli oleh Azpilicueta pada 2018 itu akan beraksi dalam Liga Isthmian.
ANDRES INIESTA
(Albacete)
LEGENDA Sepanyol dan Barcelona, Iniesta sudah lama mahu menjadi pemilik kelab dan dia membeli pasukannya ketika zaman remaja, Albacete sejak berusia 27 tahun lagi.
Iniesta yang kini berusia 39 tahun dan baru menamatkan kontrak dengan kelab Jepun, Vissel Kobe pernah mengeluarkan wang sendiri bagi membayar gaji pemain serta menyelamatkan pasukan itu daripada tindakan.
WILFRIED ZAHA
(Espoir Club D’Abengourou)
TIADA siapa dapat meneka ke mana Wilfried Zaha akan berkelana memandangkan kontraknya bersama Crystal Palace tamat tidak lama lagi.
Zaha, 30, bagaimanapun mungkin beraksi dengan kelab divisyen empat Ivory Coast, Espoir Club D’Abengourou selepas dia dan abangnya Carin mengambil alih pemilikan pasukan pada September 2022.
STEVE COOK
(Westfield FC)
BIARPUN sebahagian besar kariernya adalah bersama Bournemouth dan Nottingham Forest, namun tonggak pertahanan berusia 32 tahun, Cook masih mengingati asal usulnya.
Cook mengambil alih kelab lamanya yang beraksi dalam divisyen ke-11 bola sepak England, Westfield FC tahun lalu.