ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu ampuh dan sukar digugat mana-mana pasukan apabila mempertahankan kejuaraan Piala FA dengan menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan menjulang Piala FA buat kali ketiga selepas memenanginya pada musim 2016 dan musim lalu.
Keputusan itu juga bermakna The City Boys terlepas peluang untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan Piala AFC bagi musim depan.
Pada edisi Piala FA edisi ke-33 itu menyaksikan perlawanan seimbang pada babak pertama apabila kedua pasukan saling membuat serangan ke arah kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan kelebihan gol awal.
Kebijaksanaan Bojan Hodak mengatur percaturan berdepan pasukan tuan rumah dilihat menjadi apabila anak buah Esteban Solari gagal berleluasa dan tidak berupaya meruntuhkan benteng kukuh KL City.
Kehadiran Giancarlo Gallifouco dan Lambert Ryan di barisan pertahanan menjadikan jentera serangan JDT sukar untuk membolosi gawang pasukan lawan yang dikawal Kevin Ray Mendoza.
Anak buah Hodak hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-16 menerusi sepakan bebas diambil Paulo Josue yang disambut Matko Zirdum namun Ahmad Syihan Hazmi bingkas meluru merebahkan badan membuat hadangan bagi menafikan percubaan KL City.
Bergson Da Silva mengetuai jentera serangan JDT melakukan larian lincah mengkucar-kacirkan benteng pasukan lawan namun sentuhan penyudahnya gagal menepati pintu gol lawan.
Pada minit ke-27, JDT hampir mencipta gol pembukaan menerusi rembatan Afiq Fazail namun Mendoza sempat menguis rembatan itu sebelum menggegar palang gol lawan.
Pada minit ke-36, giliran KL City pula mendapat gol keemasan menerusi gerakan yang diilhamkan Morales namun hantaran yang diterima T. Saravanan gagal disudahkan dengan baik.
Tiga minit berselang, Fernando Forestieri turut berjaya meletakkan diri di kedudukan tepat untuk menjaringkan gol namun rembatan lencong kaki kanan namun sedikit tersasar.
KL City dilihat berjaya mengekang kemaraan JDT dan perlu meneruskan disiplin pertahanan itu sekiranya mahu menyekat percubaan pasukan tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Mendoza terus cemerlang sebagai benteng terakhir selepas menafikan sepakan percuma Forestieri pada minit ke-50.
Pada minit ke-57, JDT berjaya menjaringkan gol selepas Bergson pantas menolak bola ke gawang KL City namun gol tersebut tidak dikira selepas penjaga garisan mengangkat bendera menandakan penyerang itu berada di posisi ofsaid.
Empat minit berselang, JDT sekali lagi hampir mencipta jaringan namun tandukan Feroz sedikit tersasar dari pintu gol lawan.
Ketika jentera serangan JDT dilihat ketandusan idea memburu gol, Nathaniel Shio Hong Wan muncul penyelamat dengan melakukan rembatan deras dari jarak 25 meter yang menerjah penjuru kanan gawang KL City menewaskan Mendoza pada minit ke-66.
Hong Wan yang meledak jaringan pertamanya bersama JDT itu hadir pada pentas yang penting buat pasukan untuk untuk memburu kemenangan Piala FA bagi dua musim berturut-turut.

Pada minit ke-74, Leandro Velazquez meletakkan pasukan di kedudukan yang selesa selepas meledak gol kedua pasukan sekali gus meruntuhkan semangat juang pasukan KL City.
Hasrat skuad kendalian Hodak untuk bangkit pada perlawanan itu tidak membuahkan hasil setelah tiada pertambahan gol dilakukan sehinggalah wisel penamat ditiupkan. – UTUSAN ONLINE