PETALING JAYA: Polis merekodkan sebanyak enam kes penipuan membabitkan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang yang hilang bagi tempoh 2025 sehingga Mac lalu dengan jumlah kerugian keseluruhan RM68,491.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kes berkenaan membabitkan sindiket yang menyasarkan mangsa penipuan sedia ada melalui taktik memperdaya mereka dengan tawaran pemulangan wang yang hilang.
Menurutnya, kes dilaporkan di beberapa kontinjen seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu dengan kebanyakan mangsa dipercayai menjadi sasaran kali kedua selepas pernah ditipu sebelum ini.
Katanya, modus operandi itu dikesan apabila mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui WhatsApp oleh suspek yang menyamar sebagai wakil Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Suspek kemudian mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.
“Mangsa yang mempercayai tawaran itu membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan buat kali kedua.
Rusdi berkata, tiada mana-mana pihak dibenarkan menjanjikan memulangkan semula wang yang sudah ditipu dengan meminta bayaran awal.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran seperti itu.
“Mereka yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi NSRC di talian 997 atau membuat laporan di balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN







