Tak akan itu saja jalan selesai? - Utusan Malaysia

Tak akan itu saja jalan selesai?

Tak akan kita mahu balik seperti dahulu, berurusan di mesin ATM atau beratur panjang di bank disebabkan pihak bank kedekut hendak tambah baik sistem keselamatan mereka. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA rasa tak perlu lagi lah ketawa atau berasa pelik apabila melihat ada antara kawan-kawan kita yang masih tidak menggunakan sistem perbankan secara online.
Selalunya apabila ada orang yang masih tidak ada aplikasi perbankan online, rela pergi ke bank dan beratur untuk keluar duit dan bayar bil, kita menganggap mereka ini spesies ‘hampir pupus’. Ketinggalan zaman.
Seorang kawan sekerja masih bertanya lagi kepada saya setiap bulan. “Gaji dah masuk ke belum?” Sebabnya, bila saja saya cakap sudah, dia akan bergegas ke bank untuk mengeluarkan duit menggunakan mesin ATM.
Mula-mula dulu, saya perli-perli juga dia. “Hang dok zaman batu lagi kah?” Dia juga tidak ada aplikasi Lazada atau Shopee. Nak beli barang pergi kedailah. Bukannya susah sangat. Dulu okey saja. Sekarang mengada-ngada sangat, katanya.
Dan bila heboh-heboh cerita ramai yang hilang duit dalam bank, dialah orang yang paling menarik nafas lega.
“Sebab itu, aku tak pakai online banking. Biar beratur panjang. Jangan duit hilang,” katanya.
Seorang lagi kawan memberitahu, sejak cerita pasal wang hilang dalam bank kecoh sehari dua ini, bila gajinya sudah masuk, dia cepat-cepat membayar segala hutang dan bil-bil bulanannya.
Bukan apa, katanya, dia risau tiba-tiba wang yang tak banyak dalam simpanan bank itu lesap, boleh ‘putus nyawa’ nak bayar semua hutang bulanannya itu.
Sekarang katanya, buka mata saja pagi-pagi dia akan memeriksa duitnya dalam aplikasi bank online. Bimbang betul, kalau tiba-tiba saja duitnya hilang.
Hendak dapat balik duit yang hilang itu bukannya dalam masa terdekat, perlu melalui macam-macam siasatan dan kemungkinan tak dapat semula pun boleh jadi juga.
Isu kehilangan duit dalam bank bukan perkara baru. Ramai juga mengalaminya berdasarkan pada komen-komen di media sosial apabila seorang doktor mendedahkan di media sosial dia kehilangan duit RM13,000 di dalam bank melalui transaksi yang bukan dilakukannya.
Sebelum ini pun dilaporkan, sejumlah 31,169 kes jenayah dalam talian direkodkan pada 2021 hingga 30 Jun lalu. Kementerian Kewangan memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, jenayah dalam talian itu merangkumi penipuan pembelian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, African Scam/ Love Scam, Macau Scam, pelaburan, Business Email Compromise dan Tipu SMS.
Saya juga ingin mengimbas kembali, akhbar Mingguan Malaysia ini pernah mewa­wancara seorang bekas penggodam, Aman Shah Ahmad pada 20 Disember 2020. Dia memberitahu sistem bank di negara ini tidak selamat.
Dia mendakwa, sistem yang digunakan oleh beberapa bank di Malaysia bersifat copy and paste daripada sistem terdahulu.
Dakwanya, tindakan sesetengah bank menggunakan perisian (software) serta program bersifat terbuka (open source) mengakibatkan wujud kelompongan yang mendedahkannya kepada ancaman penggodam.
“Bank-bank pakai apa sekarang? Firewall? Saya perasan sesetengah bank di Malaysia sekarang, kesilapan paling ketara banyak program dalam itu mereka nak jimat kos. Mereka guna open source sahaja, bermakna ia kurang selamat,” katanya dalam wawancara tersebut.
Cakap-cakapnya itu mendapat banyak emoji gelak ketawa netizen. Tapi biasalah, netizen berita orang mati pun dia bagi emoji ketawa. Dekat mana dia boleh jadi terhibur sangat pun, saya tak tahu.
Tetapi itulah, bank-bank yang terbabit dengan kes-kes wang pelanggan hilang ini sepatutnya bertindak untuk menyelesaikan masalah kebuntuan mangsa ini dengan segera. Bukan beri nasihat atau menyalahkan pelanggan yang menekan link-link tertentu yang dihantar oleh scammer.
Fahamilah kesusahan mangsa. Mereka mahukan semula wang mereka dengan segera. Mungkin itu saja yang mereka ada dan ia lesap begitu saja di dalam bank yang sepatutnya mempunyai sistem keselamatan yang tidak boleh ditembusi oleh scammer atau penggodam.
Dan baru-baru ini, saya ada menerima mesej dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh nombor yang tidak dikenali.
Mesej itu memberitahu, dalam akaun bank saya ada berlaku transaksi mencurigakan dan meminta saya menekan link bank yang disertakan untuk melihatnya. Walaupun betul, saya ada menyimpan wang di bank berkenaan tapi saya tidak menekannya. Saya amat yakin itu mesej daripada scammer.
Saya menghantar mesej berkenaan kepada pegawai bank itu dan dia sahkan itu bukan dari bank berkenaan walaupun link bank seakan sama. Saya memintanya memberi peringatan kepada pelanggan di dalam Facebook bank itu, agar tidak menekan link berkenaan dan dia melakukan hebahan itu.
Rupa-rupanya ada juga yang mendapat mesej yang sama melalui komen-komen yang saya baca di situ.
Terfikir juga saya, macam mana scammer ini tahu, kami ini mempunyai simpanan di bank tersebut. Tak akanlah secara random, menghantar mesej pada pelanggan bank yang diberi link tersebut.
Apakah ada orang dalam yang menjual data pelanggan mereka kepada scammer? Atau scammer itu sendiri orang dalam?
Lakukanlah siasatan dalaman apabila banyak kes hilang duit dilaporkan dalam bank yang sama. Tak akanlah jalan selesainya hanya meminta pendeposit lebih berhati-hati. Jangan tekan link yang mencurigakan
Sungguh, dengan kes-kes kehilangan wang dan gangguan scammer pada pelanggan, pihak bank sepatutnya meningkatkan lagi tahap keselamatan bukan menyalahkan pelanggan pula.
Sebabnya, keyakinan dan kepercayaan pelanggan mudah terhakis dengan isu kehilangan wang yang amat membimbangkan ini. Lainlah, jika pihak bank tidak kisah sekiranya pelanggan beramai-ramai menutup akaun simpanannya di situ dan beralih kepada bank lain pula.
Dengan setiap tahun bank-bank tempatan kita mencatat keuntungan bersih berbilion ringgit, sudah sepatutnya keuntungan itu diperuntukkan juga kepada sistem keselamatan yang kalis digodam untuk melindungi wang pendeposit. Tak akan kita mahu balik seperti dahulu, beratur panjang di bank disebabkan bank kedekut hendak tambah baik sistem mereka.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.