JDT baham KL City 6-1

JDT baham KL City 6-1

JDT kelab paling bernilai dalam Liga Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan taring apabila membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Dua jaringan dalam tempoh dua minit oleh Diogo Luis Santo dan Arif Aiman Hanapi ‘membunuh’ hasrat skuad The City Boys bagi mengejutkan pasukan tuan rumah yang belum pernah tewas dalam saingan liga musim ini.

Ketiadaan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan penggantungan pemain seperti Giancarlo Gallifuoco serta gandingan adik beradik, Ryan dan Declan Lambert merencatkan perancangan Bojan Hodak untuk mengekang kemaraan JDT.

Pasukan bimbingan Esteban Solari hampir membuka jaringan seawal minit kelima menerusi percubaan Diogo, namun Matko Zirdum tangkas membuat hadangan bagi mengelakkan gawang pasukannya dibolosi.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi merembat kencang bola ke gawang KL City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pada minit kelapan, JDT sekali lagi dihidangkan peluang keemasan untuk mencipta jaringan menerusi sepakan bebas, namun percubaan yang dilakukan Leandro Velazquez itu tepat ke arah dakapan penjaga gawang, Azim Al Amin Kamarudin.

Walau bagaimanapun, keampuhan benteng pertahanan KL City akhirnya roboh pada minit ke-12 apabila Diogo meledak gol pertama dengan membiaskan rembatan Velazquez menewaskan Azim Al Amin.

Belum sempat pasukan pelawat mengatur gerak, Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah yang meraikan jaringan Arif Aiman seminit kemudian.

Jordi Amat bijak menghidu peluang dengan melakukan hantaran jauh mencari pemain lincah itu yang melakukan larian bertenaga menyambut hantaran itu sebelum melepaskan tendangan melepasi kawalan penjaga gol lawan pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan awal itu, pasukan lawan cuba melakukan serangan balas yang direncanakan oleh Sean Gan Giannelli dan Tchetche Kipre, namun mudah dipatahkan barisan pertahanan JDT.

Bergson Da Silva hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring, namun tandukan yang dilepaskan jauh tersasar dari pintu gol lawan pada minit ke-22.

Diogo terus menjadi duri dalam daging buat pasukan The City Boys apabila menjaringkan gol kedua dengan mengatasi pemain pertahanan Kenny Pallraj Davaragi dan Kamal Azizi Mohamad Zabri bagi menanduk masuk hantaran silang Matthew Davies pada minit ke-35.

Sebelum tamat babak pertama, pemain berusia 36 tahun itu melengkapkan hatriknya apabila memanfaatkan umpanan Corbin Ong dengan melepaskan rembatan kaki kanan ke arah penjuru kanan gawang lawan menewaskan Azim Al Amin pada minit ke-44.

Tersentak dengan keputusan mengejutkan pada babak pertama, Hodak terpaksa membawa masuk Paulo Josue yang tidak cergas sepenuhnya bersama Patrick Reichelt bagi menghidupkan jentera serangan KL City.

Kemasukan dua pemain itu yang menggantikan Kipre dan Giannelli sedikit sebanyak membantu memberi tonik buat pasukan pelawat untuk melancarkan serangan balas ke kubu lawan.

Hasilnya, pada minit ke-54, KL City berjaya merapatkan jurang gol setelah sepakan penjuru yang diambil Josue berjaya mencetuskan kekalutan dalam kotak penalti JDT sebelum Zirdum pantas menguis bola ke dalam gawang Harimau Selatan.

Jaringan tersebut dilihat mencetuskan kemarahan pasukan tuan rumah yang giat melakukan serangan balas untuk menambah derita buat pasukan pelawat.

Arif Aiman mempunyai beberapa peluang keemasan menerusi sepakan percuma serta rembatan dari luar kotak penalti, namun sayangnya percubaan itu tidak tepat ke arah pintu gol lawan.

Diogo hampir meledak gol keempat peribadinya namun penyerang kelahiran Brazil itu gagal memanfaatkan umpanan cantik Akhyar Rashid apabila rembatan dari jarak dekat sekadar menggegar palang KL City.

Gol yang diburu skuad Harimau Selatan itu akhirnya muncul pada minit ke-86 hasil jaringan pemain gantian, Safiq Rahim yang mudah menewaskan Azim Al Amin untuk kembali menjarakkan kedudukan.

Sebelum perlawanan tamat, Akhyar mudah menyempurnakan hantaran Arif Aiman dengan melepaskan rembatan kencang menggegar gawang lawan bagi melengkapkan kenduri gol pada perlawanan itu-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya