LONDON: Emma Raducanu bakal terlepas Terbuka Perancis (Roland Garros) dan Wimbledon selepas menjalani pembedahan di kedua-dua belah tangan dan buku lalinya semalam.
Bintang tenis wanita No. 1 Britain itu mengalami kecederaan pergelangan tangan sejak beberapa bulan lalu dan menarik diri daripada Terbuka Madrid minggu lepas sebelum perlawanan pembukaan.
Raducanu, 20, berkata dia akan ‘berehat untuk beberapa bulan akan datang’ dan terlepas ‘acara besar musim panas’ iaitu Grand Slam di Roland Garros dan All England Club.
“Adalah selamat untuk mengatakan 10 bulan terakhir amat sukar kerana saya mengalami kecederaan berulang di tulang kedua-dua tangan.
“Saya cuba yang terbaik untuk menguruskan kesakitan dan mengharunginya pada sebahagian besar tahun ini dan akhir tahun lalu dengan mengurangkan beban latihan secara mendadak, kehilangan minggu latihan serta mengurangkan musim lalu untuk memulihkannya.
“Malangnya, itu tidak mencukupi. Saya sedang menjalani prosedur kecil di kedua-dua belah tangan menyelesaikan isu tersebut.
“Saya kecewa untuk berkongsi bahawa saya akan tangguhkan permainan selama beberapa bulan akan datang dan sementara itu, saya akan melakukan prosedur kecil yang perlu dibuat pada buku lali saya.
“Perkara ini sangat menyakitkan kerana saya akan merindui acara musim panas.
“Saya cuba untuk tidak memperbesarkan isu ini, jadi saya berterima kasih kepada semua peminat yang terus menyokong saya ketika anda tidak mengetahui faktanya,” katanya menerusi tulisan tangan yang dimuat naik di media sosial. – AGENSI