KUALA TERENGGANU: Keterujaan dua beradik menyaksikan rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini malam tadi, bertukar menjadi kenangan manis apabila mereka berpeluang bertemu dan menyerahkan duit raya kepada pemimpin negara itu.
Aesha Khadeejah Anuar, 10, dan adiknya, Uwais Al-Qarni, 8, sanggup menunggu hampir satu jam selepas mengikuti kenderaan polis dari Simpang Tokku sehingga ke lapangan terbang, semata-mata ingin melihat sendiri ketibaan Perdana Menteri.
Kedua-dua kanak-kanak itu dengan penuh keikhlasan menyerahkan duit yang mereka miliki berjumlah RM7 kepada Perdana Menteri, masing-masing RM5 daripada Aisyah dan RM2 daripada Uwais Al-Qarni apabila berpeluang bersua dengan Anwar.
Wang tersebut adalah simpanan mereka untuk perbelanjaan sekolah.
Aesha Khadeejah yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan ( SK) Sultan Sulaiman 1 di sini berkata, mereka teruja melihat kelibat pemimpin nombor satu negara di depan mata.
“Apabila saya nampak Perdana Menteri mahu menaiki kapal terbang, saya panggil dan tidak sangka PM datang menghampiri saya dan adik.
“Saya ambil duit belanja dan terus bagi kepada PM sebab sekarang masih bulan Syawal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan daripada Perdana Menteri oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (ICU) di Kampung Paya , di sini, hari ini
Hadir sama Pengarah ICU Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Aesha Khadeejah berkata, lebih membuatkan mereka teruja adalah nama bapa mereka hampir sama dengan Perdana Menteri, iaitu Anuar Rashid.
Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Liza Fadzilah Abdul Hamid, 49, berkata, sebelum itu dia memaklumkan kepada kedua-dua anaknya bahawa Perdana Menteri berada di Terengganu.
“Jadi apabila kami terserempak dengan banyak kenderaan polis, mereka minta saya ikut sampai ke lapangan terbang. Tiba di sana, mereka ternampak karpet merah dan tertanya-tanya siapa yang melaluinya.
“Kami tunggu sehingga kira-kira pukul 10.30 malam sebelum akhirnya dapat melihat Perdana Menteri dari dekat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kahar berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri untuk dua beradik itu sebagai menghargai keikhlasan mereka.
“Kita sampaikan sedikit wang tunai, iPad dan peralatan persekolahan buat mereka. Semoga ia dapat membangkitkan lagi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Menurut beliau, Perdana Menteri turut meluahkan rasa terharu terhadap pemberian tersebut dan berterima kasih atas ingatan yang tidak disangka berkenaan.
Terdahulu, Anwar dalam satu perkongsian di Facebook menyatakan sudah lama tidak menerima duit raya dan sangat tersentuh dengan keikhlasan yang ditunjukkan dua beradik itu. – UTUSAN










