KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyemak semula sasaran pelaksanaan cukai karbon susulan perkembangan geopolitik semasa yang memberi tekanan kepada kos industri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, walaupun pelaksanaan cukai karbon sebelum ini dirancang pada tahun ini, sektor industri kini berdepan peningkatan kos yang ketara.
Katanya, ini termasuk kenaikan harga tenaga, petrol dan diesel, sekali gus menjadikan pemain industri lebih sensitif terhadap sebarang beban kos tambahan.
“Kerajaan kekal pro-industri dan pro-ekonomi, namun dalam masa yang sama, kerangka dasar seperti cukai karbon masih perlu diwujudkan kerana kita tetap perlu bergerak ke arah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pra- pelancaran Minggu kelestarian Antarabangsa (International Sustainabality Week) (ISW) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai karbon diperkenalkan mulai 2026 yang menumpukan sektor besi, keluli dan tenaga.
Anwar berkata, mekanisme akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.
Dalam pada itu, Arthur berkata, ketidaktentuan geopolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan agenda peralihan tenaga.
“Hal ini kerana sumber bahan api fosil seperti petrol dan diesel adalah terhad dan tidak mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, Arthur berkata, usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi hijau perlu diteruskan melalui kerjasama strategik, penerapan teknologi serta sokongan insentif kerajaan.
“Walaupun mungkin berlaku sedikit kelewatan, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa atau terus bergantung kepada sumber tenaga murah yang mencemarkan.
“Peralihan ke arah tenaga lebih bersih tetap perlu dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN










