Bila pilihan raya, semua masalah ada jawapan

Bila pilihan raya, semua masalah ada jawapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA pilihan raya, majoriti ahli politik seolah-olah mempunyai satu buku panduan yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Apabila kempen bermula, buku itu dibuka semula dan halaman yang sama dibacakan kepada rakyat.

Banjir akan diselesaikan, peluang pekerjaan akan diperbanyakkan, hak anak muda akan dipertahankan, rumah mampu milik akan disediakan dan kos sara hidup akan diringankan.

Semuanya kedengaran hebat, sehinggalah pilihan raya berakhir dan buku janji itu kembali disimpan dalam laci. Begitulah kitaran politik yang terus berulang. Setiap kali pilihan raya, rakyat disajikan menu yang hampir sama, cuma tukang masak bertukar, resipi masih serupa dan pelanggan pula diminta membayar dengan undi.

Selepas mendapat mandat, ada janji yang tiba-tiba memerlukan kajian, dalam perancangan dan seolah-olah hilang daripada radar.

Ia bukan sesuatu asing menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16. Ketika kempen berlangsung, isu banjir, pembangunan kawasan, peluang pekerjaan, kebajikan penduduk dan masa depan anak muda kembali menjadi bahan jualan politik.

Setiap calon mahu tunjuk mereka mempunyai formula terbaik membawa perubahan, tetapi bukankah sebahagian daripada isu ini sudah dibangkitkan dalam pilihan raya lalu?

Jika semua perkara itu masih perlu dijanjikan semula, rakyat berhak bertanya, ke manakah perginya janji dulu? Adakah ia sudah dilaksanakan, masih dalam proses atau sekadar menjadi bahan kempen yang tamat tempoh sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan?

Setiap kali banjir melanda, isu sistem perparitan, saliran dan tebatan banjir kembali mendapat perhatian. Ketika air sudah surut, perhatian juga perlahan-lahan surut bersama. Sehinggalah musim pilihan raya tiba, isu yang sama kembali diangkat seolah-olah baharu pertama kali diketahui.

Begitu juga dengan anak muda. Mereka sering digambarkan sebagai aset masa depan, kelompok penting yang perlu diberikan peluang dan suara dalam pentadbiran. Namun, selepas kempen berakhir, mereka masih berdepan persoalan sama tentang pekerjaan bergaji munasabah, kos sewa rumah dan kemampuan memiliki kediaman sendiri.

Barangkali anak muda sudah terlalu biasa mendengar perkataan peluang sehingga tidak lagi tahu bila peluang itu sebenarnya akan tiba. Mereka dijanjikan masa depan yang cerah tetapi terpaksa berdepan realiti kehidupan yang semakin mahal.

Pemain politik daripada pelbagai parti seolah-olah mempunyai masalah ingatan yang hampir sama. Mereka mungkin terlupa janji yang pernah dibuat tetapi rakyat tidak semestinya mengalami masalah serupa.

Dalam PRN Melaka kali ini, pengundi tidak seharusnya sekadar mendengar siapa paling lantang menawarkan perubahan. Mereka perlu menilai siapa yang pernah diberikan peluang, apa yang sudah dilaksanakan dan apa pula yang masih tinggal sebagai angan-angan.

Pihak yang pernah mentadbir tidak boleh terus berlindung di sebalik janji baharu manakala pihak yang mahu mengambil alih tidak boleh menganggap semua masalah boleh diselesaikan hanya dengan menukar kerajaan.

Sudah tiba masanya manifesto bukan sekadar katalog impian diterbitkan setiap kali pilihan raya, sebaliknya setiap janji mesti ada sasaran, tempoh pelaksanaan dan pihak bertanggungjawab.

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN