PETALING JAYA: Syarikat mainan pereka tempatan, Milolo Berhad (Milolo) bakal memulakan fasa pertumbuhan baharu selepas mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian di Pasaran LEAP.
Berdasarkan harga rujukan penyenaraian RM0.10 sesaham, syarikat yang terkenal dengan jualan kotak misteri dan figura koleksi itu dijangka mempunyai modal pasaran sebanyak RM25 juta sebaik sahaja disenaraikan kelak.
Menjelang penyenaraian tersebut, Milolo telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM3.50 juta melalui dua pelaksanaan langganan saham persendirian pada Februari 2026 yang melibatkan pelabur persendirian bebas.
Pengarah Urusan Milolo, Datuk Millan Lee berkata, penyenaraian ini merupakan batu lonjakan besar bagi mempercepatkan visi syarikat menjadi platform harta intelek (IP) mainan pop kreatif bersepadu yang merangkumi pembangunan IP, pelesenan dan peruncitan.
“Penyenaraian di Bursa Securities membolehkan kami memanfaatkan pasaran modal untuk aktiviti pengumpulan dana pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan kemampuan kami untuk mengejar peluang pertumbuhan.
“Kami juga melihat ini sebagai langkah utama ke arah penyenaraian di pasaran bertahap lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Milolo merancang untuk menggunakan 42.86 peratus daripada hasil dana yang diperoleh bagi menubuhkan cawangan runcit baharu di pusat beli-belah terkemuka di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Sebanyak 28.57 peratus lagi akan diperuntukkan untuk mempromosikan portfolio IP proprietari syarikat, manakala baki 28.57 peratus akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Setakat ini, Milolo mempunyai 10 cawangan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pavilion Bukit Jalil, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid, selain memasarkan jenama pihak ketiga yang terkenal seperti Pop Mart dan Funism.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, syarikat mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan lonjakan hasil sebanyak 68.35 peratus kepada RM11.33 juta.
Keuntungan selepas cukai kumpulan turut melonjak kepada RM1.82 juta berbanding hanya RM0.09 juta pada tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh pembukaan cawangan runcit baharu yang agresif. –UTUSAN










