KUALA LUMPUR: Platform kewangan dan pembayaran global terkemuka, Airwallex, secara rasmi memperkenalkan rangkaian produk lengkapnya di pasaran Malaysia bagi membolehkan syarikat tempatan menguruskan keseluruhan operasi kewangan antarabangsa menerusi satu enjin digital sehenti.
Langkah strategik ini menyusul selepas syarikat itu berjaya memperoleh kelulusan pengeluaran e-wang dan lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang Kelas A daripada Bank Negara Malaysia (BNM), yang membolehkan operasi tempatan dijalankan sepenuhnya dalam masa beberapa minggu akan datang.
Pengurus Besar APAC Airwallex, Arnold Chan berkata, pengenalan rangkaian penuh ini bertujuan membantu perniagaan Malaysia mengatasi sistem kewangan tradisional yang sering dianggap lembap dan tidak efisien untuk era ekonomi digital.
“Sekian lama perniagaan di Malaysia disekat oleh sistem kewangan berpecah-belah. Dengan membawa rangkaian penuh kami ke sini, kami menghapuskan apa yang kami panggil sebagai ‘cukai sempadan’ terhadap cita-cita syarikat tempatan.
“Airwallex bukan sekadar menawarkan alat baharu, tetapi menyediakan enjin kewangan berasaskan AI yang membolehkan perniagaan mengurus operasi dengan kelajuan, kawalan, dan kecekapan yang jauh lebih tinggi,” katanya semasa sesi taklimat media sempena pelancaran rasmi suite penuh perkhidmatan Airwallex di Malaysia, hari ini.
Menerusi platform ini, syarikat tempatan mampu menjimatkan kos transaksi antarabangsa sehingga RM100 bagi setiap urus niaga selain membolehkan kemasukan ke pasaran baharu dua hingga tiga kali lebih pantas berbanding proses perbankan konvensional.
Sementara itu, Ketua Peluasan Asia Tenggara Airwallex, Andrew Chim menjelaskan, salah satu kelebihan utama yang ditawarkan adalah keupayaan e-dompet pelbagai mata wang yang membolehkan peniaga mengumpul dan memegang dana tanpa perlu melalui pertukaran mata wang yang merugikan.
“Dengan Airwallex, perniagaan boleh berbelanja menggunakan baki sedia ada dalam e-dompet tanpa dikenakan yuran pertukaran mata wang asing (FX) tersembunyi yang lazimnya tersirat dalam penggunaan kad kredit antarabangsa.
“Kami mahu pengasas syarikat berhenti bimbang tentang operasi kewangan dan fokus kepada peluasan pasaran seterusnya. Malaysia kini menjadi hab operasi serantau kami dan kami merancang untuk menggandakan jumlah tenaga kerja di pejabat baharu kami sepanjang tahun 2026,” katanya.
Antara keupayaan utama yang bakal dilancarkan termasuk pendaftaran digital secara terus, pemindahan wang global yang pantas, serta pengeluaran kad korporat bersepadu dengan alat pengurusan perbelanjaan yang memberi penglihatan penuh terhadap aliran tunai antarabangsa.
Peluasan ini dilihat sangat kritikal memandangkan eksport digital Malaysia mencatatkan pertumbuhan pesat, mencecah RM2.6 bilion pada separuh pertama 2025 dengan lebih 350 syarikat tempatan telah mula mengembangkan sayap ke 39 pasaran global. –UTUSAN










