RIYADH: Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi mengejutkan peminat Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Miami apabila memuji landskap hijau Arab Saudi dalam mesej yang ditaja di media sosial.
Hantaran itu berbunyi: “Siapa sangka Saudi mempunyai banyak tumbuh-tumbuhan hijau? Saya teringin menjelajah keajaiban negara ini bila-bila berpeluang nanti.”
Selepas dua tahun menyarung jersi PSG, Messi bakal meninggalkan gergasi bola sepak Perancis itu pada hujung musim ini.
Dia dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona, selain perpindahan ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai Inter Miami.
Begitupun, penyerang berusia 36 tahun itu juga mempertimbangkan untuk menyertai Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Liga Pro Saudi selepas ejennya dilihat berada di Arab Saudi bagi mengadakan beberapa rundingan.
Pengurus Barcelona, Xavi kelmarin mengesahkan mereka sudah berbincang dengan La Liga mengenai kemungkinan membawa pulang Messi yang telah menghabiskan seluruh kerjayanya di Camp Nou.
Messi meninggalkan Barca secara mengejut pada 2021 kerana isu kewangan. – AGENSI