Kedah dikecewakan KL City pula

Kedah dikecewakan KL City pula

JARINGAN Jonathan Balotelli tidak cukup untuk menghadiahkan kemenangan kepada KDA FC yang terpaksa akur dengan kekalahan kepada KL City FC di Stadium Darul Aman. - GAMBAR KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk bangkit setelah dibelasah JDT sebelum ini tidak kesampaian apabila mereka dikejutkan pula dengan kekalahan kepada KL City 2-3 di laman sendiri, sebentar tadi.

Percubaan penyerang KDA dari Brazil, Jonathan Balotelli pada minit pertama didakap kemas penjaga gol KL City, Azri Ghani manakala rembatan voli kapten pelawat, Paulo Josue dua minit kemudian, sedikit melepasi palang.

Dalam kerancakan kedua-dua pasukan berbalas serangan, gol pertama perlawanan hadir buat pasukan bimbingan Bojan Hodak pada minit ke-10.

Gol itu terhasil apabila bekas pemain KDA musim lalu, Tchetche Kipre berjaya lolos dari perangkap ofsaid di sebelah kanan gawang tuan rumah. Dia kemudian melorongkan bola kepada Josue yang tidak dikawal dalam kotak penalti sebelum mudah menewaskan Kalamullah Al-Hafiz dengan rembatan kaki kiri.

Meskipun dibolosi awal, semangat Sang Kenari langsung tidak terjejas. Mereka kemudiannya terus merencanakan serangan hingga membolehkan sayap lincah, Manuel Hidalgo melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-13 yang sedikit sebanyak berjaya menguji ketangkasan Azri Ghani untuk menyelamatkan keadaan.

Usaha anak-anak buah Nafuzi Zain untuk bangkit membuahkan hasil apabila Balotelli berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-24. Pemain yang baru kali kedua diturunkan dalam kesebelasan utama KDA itu berjaya melarikan bola dari tengah padang melepasi kawalan pertahanan KL City, Kenny Pallraj sebelum memperdaya Azri di dalam kotak penalti.

Tidak cukup dengan itu, KDA terus mengukuhkan kedudukan apabila Bojan Ciger menjaringkan gol kedua lima minit kemudian. Pemain berketinggian 186 sentimeter itu melonjak tinggi untuk menanduk bola sepakan percuma Lee Tuck dari tengah padang.

Memasuki babak kedua, KL City jelas menunjukkan betapa mereka cukup bernafsu untuk mengutip tiga mata bagi dibawa pulang dari bumi jelapang padi apabila terus melancarkan serangan sebaik perlawanan bersambung.

Pada minit ke-47, rembatan Kipre dari luar kotak penalti berjaya ditampan Kalamullah namun dia yang tidak berputus asa, kembali mendapatkan bola untuk sekali lagi melancarkan serangan.

Kebijaksanaan Kipre yang sudah beberapa musim beraksi dalam kancah Liga Malaysia terserlah apabila hantarannya tepat kepada rakan sepasukan, Romel Morales memudahkan pemain tinggi lampai itu menanduk bola ke gawang untuk gol kedua KL City, seminit kemudian.

Pasukan pelawat kemudiannya kembali berada di depan apabila pemain import dari Brazil, Herlison Caion De Souza yang menggantikan Kipre, berjaya menjaringkan gol ketiga buat pasukan itu pada minit ke-75.

Gol tu terhasil menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti ke kanan gawang tuan rumah, yang gagal dijangkau Kalamullah meskipun penjaga gol kebangsaan itu cuba melayangkan badan.

Minit ke-85, Josue hampir menambah derita KDA di depan kira-kira 2,900 penyokong Hijau Kuning, namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditampan Kalamullah untuk keputusan muktamad 3-2 memihak kepada KL City. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya