Kedah tangguh hasrat JDT main bunga api awal

Kedah tangguh hasrat JDT main bunga api awal

PEMAIN KDA meraikan kejayaan mencuri mata daripada JDT yang sepatutnya sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini dalam pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah sedia untuk berpesta sebagai juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut, pemain Kedah Darul Aman (KDA), Amirbek Juraboev menghampakan mereka apabila menjaringkan gol penting pada minit ke-90 sekali gus mengikat kedudukan 3-3 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Lebih manis, keputusan seri yang dicatatkan dengan Harimau Selatan itu turut menjadikan KDA sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata daripada anak-anak buah Esteban Solari, musim ini.

Jaringan pemain import KDA dari Tajikistan itu memadam kelebihan 3-2 yang diperolehi JDT pada minit ke-73 setelah pemain lincah pasukan pelawat, Arif Aiman Hanapi bijak memperdaya empat pemain Sang Kenari sebelum melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim yang menjaga gawang KDA.

Terdahulu, perlawanan rancak sejak tiupan wisel apabila JDT mula menguji pintu gol KDA pada minit ke-5 menerusi tandukan Bergson Da Silva yang bagaimanapun dapat dibaca Ifwat Akmal bagi menyelamatkan keadaan. 

Namun, anak-anak buah Nafuzi Zain tidak gentar berlawan dengan mereka turut mengatur serangan sehingga Moses Atede berjaya melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-9, namun bola berjaya ditangkap penjaga gawang JDT, Ahmad Syihan Hazmi. 

Gol pertama perlawanan akhirnya hadir pada minit ke-35 apabila fedayo Olusegun melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil sepakan penjuru diambil Manuel Hidalgo tanpa dapat dijangkau Ahmad Syihan sekali gus menggamatkan stadium yang dipenuhi lebih 12,000 penonton untuk KDA berada di depan.

Minit ke-45, kecekapan Ifwat berjaya memastikan KDA mendahului 1-0 pada separuh masa pertama. Keberaniannya meluru kepada Bergson ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu sama satu, membolehkannya menampan percubaan penyerang dari Brazil itu dari jarak dekat untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi. 

Melihat keadaan itu, JDT membuat pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan Shane Lowry serta Endrick Dos Santos bagi menggantikan Feroz Baharuddin serta Takahiro Kunimoto. Percaturan Solari itu bagaimanapun gagal memperlahankan rentak Sang Kenari apabila mereka menghasilkan gol kedua pada minit ke-50 menerusi jaringan kapten pasukan, Manuel Ott. 

JDT selepas itu menunjukkan kebangkitan serta tidak menunggu lama untuk mengejar. Pada minit ke-51, pertahanan kanan mereka, Corbin Ong berjaya menewaskan Ifwat buat kali pertama menerusi tandukan setelah menerima hantaran dari Lowry.

Hanya empat minit berselang, penyerang prolifik JDT, Heberty Fernandes berjaya menyamakan kedudukan apabila dia yang tidak dikawal, melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti setelah menerima hantaran daripada Arif Aiman. 

Dua gol itu tidak langsung membunuh semangat tuan rumah. Pada minit ke-63, Ott setidak-tidaknya berjaya mencemaskan kem JDT menerusi rembatan dari dalam kotak penalti yang sedikit tersasar ke kiri gawang lawan.

Tidak berakhir di situ, gawang JDT sekali lagi diuji pada minit ke-66. Rembatan leret Ifedayo singgah di tiang sebelah kiri pelawat ketika Ahmad Syihan yang merupakan penjaga gol kebangsaan sudah pun tertewas. 

Di sebalik keghairahan KDA menyerang, Arif Aiman akhirnya membuktikan mengapa dia disanjung sebagai antara pemain terbaik dalam negara ini, sebelum Amirbek menangguhkan sementara kejuaraan JDT dalam Liga Super musim ini untuk keputusan seri 3-3. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya