Harimau Selatan sudah tahap Asia

Harimau Selatan sudah tahap Asia

PENYERANG JDT, Fernando Forestieri melepaskan rembatan ketika menentang Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun Liga Super 2023 baru memasuki enam perlawanan, namun melihat betapa ampuh Johor Darul Ta’zim (JDT) meledak 25 gol ke­seluruhan, selain membenam dua pencabar terkuat, Sabah dan Selangor 4-0, nyata mereka adalah pilihan untuk mempertahankan gelaran kali ke-10.

Itu bermakna, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, 13 buah pasukan lain yang berentap dalam Liga Super musim ini sudah boleh memberi tumpuan kepada perebutan gelaran naib juara, kata bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew.

Ditanya mengapa JDT terlalu kuat sedangkan pasukan lain turut melakukan persiapan rapi, berbelanja dan memiliki ramai import, Chan Yew berkata, sejak beberapa tahun lalu, tumpuan Harimau Selatan sudah beralih ke pentas lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara Asia.

Kualiti yang dimiliki pemain mereka sama ada import mahu pun tempatan sudah bertaraf Asia, dan jurang perbezaan permainan di antara JDT dan Sabah amat ketara ketika Harimau Selatan dengan mudah menjinakkan Sang Badak 4-0 kelmarin.

“Bagi saya, memang pasukan lain sukar memenuhi standard yang dicapai JDT tetapi kita kena faham, JDT dari pramusim lagi telah menyediakan kelab untuk ke Liga Juara-Juara, bukan setakat Liga M (Liga Malaysia).

“Bahkan sebenarnya setiap tahun pun mereka mahu ke Liga Juara-Juara. Bagaimana mahu ke situ? Dengan menjuarai Liga Super.

“Bagi saya, gaya berfikir begini membezakan JDT de­ngan pasukan lain dan hasilnya adalah pada taktikal.

“Saya akui Selangor, Sabah, malah Kedah dan Sri Pahang antara pasukan terkuat musim ini, namun yang membezakan JDT dengan mereka, pemain Harimau Selatan akan menghantar bola kepada rakan sepa­sukan terdekat dan tidak akan buat dribble (menggelecek) yang lama.

“Satu lagi, bila lawan mendapat bola, pemain JDT akan cepat membuat tekanan kepada pemain tersebut, menyebabkan bola akhirnya terlepas juga kepada mereka. Melihat JDT, kita perlu bercakap tentang kelajuan (speed of football).

“JDT tidak akan pegang bola lama. Mereka hanya akan ­dribble di bahagian kanan oleh Arif Aiman dan di bahagian kiri Endrick dos Santos. Mereka akan gerakkan bola kepada pemain lain.

“Kalau pasukan lain, ramai pemain yang akan buat dribble,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Selain membelasah Sabah 4-0 kelmarin dan menumpaskan Selangor 4-0 dua minggu lalu, JDT juga ‘meratah’ Negeri Sembilan 7-0, awal bulan lalu, selain menumpaskan Kelantan FC 5-1.

Dalam dua aksi pertama musim, mereka mengalahkan Terengganu FC 2-0 dan Kuala Lumpur City 3-0.

JDT bukan sahaja meledak 25 gol dan mengungguli liga dengan 18 mata maksimum, malah benteng mereka dike­tuai penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed hanya bolos sekali musim ini.

Semua gol JDT kelmarin ­disempurnakan oleh Arif Aiman, Juan Muniz, Syahmi Safari dan Fernando Forestieri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya