Hamzah kerjasama dengan Pas PRN Johor, Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Hamzah kerjasama dengan Pas PRN Johor, Negeri Sembilan

HAMZAH Zainudin (tengah) bersama ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (kiri) dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin pada majlis perkahwinan di Batu Kurau hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, hubungan erat yang terjalin dengan Pas akan dimanfaatkan untuk merangka pendekatan politik yang mampu menjamin kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

“Kita sedang membincangkan soal masa depan. Masa depan itu bukan bermakna untuk parti saya semata-mata. Kita ada sahabat seperti Pas dan juga mahu membantu menentukan masa depan rakyat Johor.

“Kita mahu memastikan segala pembangunan dan agenda masa depan itu dapat dijayakan dengan begitu baik sekali.

“Saya dan Pas akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dan menentang mana-mana pihak yang dilihat boleh menjejaskan kestabilan serta kedudukan dua negeri itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perkahwianan anak kepada ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias di Kampung Paya di sini hari ini.

Katanya, Johor dan Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil dan berwibawa bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan politik yang merugikan rakyat.

“Bersama Pas, kita akan duduk berbincang. Kalau ada kumpulan-kumpulan yang boleh merosakkan kedudukan Johor itu sendiri, kita akan tentang habis-habisan,” katanya.

Menyentuh mengenai Negeri Sembilan, beliau menjelaskan matlamat yang dibawa adalah sama iaitu memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada politik yang memecah-belahkan masyarakat dan menggugat usaha penyatuan nasional.

Menurut Hamzah, rakyat mahu melihat kemunculan sebuah parti politik yang lebih matang dan bertanggungjawab, yang mampu menyatukan pelbagai kelompok masyarakat demi kepentingan negara.

Tambahnya, usaha tersebut tidak hanya melibatkan penyatuan dalam kalangan orang Melayu, malah perlu diperluaskan kepada masyarakat pelbagai kaum bagi membentuk sebuah kekuatan nasional yang lebih menyeluruh.

“Saya melihat kalau mereka benar-benar dapat duduk bersama dengan Pas, saya boleh menjadi jambatan untuk memastikan kumpulan-kumpulan ini bersatu dan bertemu.

“Pada masa sama, rakyat bukan Melayu juga dapat bersama-sama dalam agenda yang lebih besar untuk negara kita,” katanya. – UtUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN