GeoEntrepreneur Lenggong perkasa usahawan, lonjak sektor pelancongan - Utusan Malaysia

GeoEntrepreneur Lenggong perkasa usahawan, lonjak sektor pelancongan

SAARANI Mohamad (tengah) menyempurnakan pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di Lenggong hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Lenggong memperkenalkan program GeoEntrepreneur yang pertama seumpamanya di Malaysia, sebagai langkah memperkasa usahawan tempatan dan meningkatkan kualiti sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, Modul Kursus Usahawan di bawah Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark dibangunkan bagi memberi latihan kepada pengusaha dalam pelbagai bidang termasuk penginapan dan makanan.

Katanya, modul itu turut merangkumi aspek pengangkutan dan pengurusan acara bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong.

“Kita sedar Lenggong masih kekurangan kemudahan penginapan bertaraf tinggi seperti hotel empat dan lima bintang.

“Namun, kita yakin pelancong terutama dari Barat lebih tertarik kepada suasana berasaskan alam semula jadi yang unik dan berbeza di setiap destinasi.

“Jadi, melalui program GeoEntrepreneur ini, kita akan melatih usahawan tempatan supaya resort, homestay dan chalet yang ditawarkan mempunyai kualiti tinggi dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik setanding hotel bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark di Dewan Merdeka Lenggong, di sini hari ini.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, program GeoEntrepreneur itu diharap dapat menjadi model kepada Geopark lain dalam usaha melahirkan usahawan pelancongan yang lebih berdaya saing.

Menurut beliau, Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong akan berperanan sebagai pusat latihan bagi usahawan tempatan selain turut membuka peluang kepada usahawan dari Geopark di seluruh negara untuk mengikuti modul berkenaan.

“Kita harap mana-mana Geopark di seluruh Malaysia yang ingin melatih usahawan mereka boleh datang ke Lenggong.

“Dengan adanya pusat latihan ini, lebih ramai akan mengenali pembangunan GeoEntrepreneur sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Lenggong sebagai pusat rujukan pembangunan usahawan Geopark negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, satu direktori lengkap turut akan diwujudkan bagi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat berkaitan penginapan, lokasi makanan dan pelbagai aktiviti menarik di Lenggong menerusi penggunaan kod QR.

Katanya, inisiatif itu merupakan persediaan menjelang penganjuran Dialog Lenggong pada Disember depan yang bakal menghimpunkan pelbagai program bertaraf dunia melibatkan penggiat seni, budaya dan peserta dari beberapa negara.

“Dialog Lenggong akan menampilkan 39 pengisian pelbagai acara yang disertai penggiat seni dan budayawan dari pelbagai negara.

“Program bertaraf antarabangsa itu akan bermula pada September depan dengan acara kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada Disember,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN