PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki bawah 18 (B-18) negara untuk menamatkan kempen Piala Asia B-18 dalam kedudukan podium tidak kesampaian selepas tewas 3-0 kepada Pakistan pada aksi penentuan tempat ketiga di Kakamigahara, Jepun, hari ini.
Gol pertama Pakistan dijaringkan oleh Uzair Ahmad Qureshi menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga permainan sebelum Haider Asam menggandakan jaringan 20 minit kemudian.
Ketika permainan berbaki satu minit, Pakistan mendapat gol ketiga hasil gol padang Adeel.
Skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom itu gagal menyamai pencapaian pada tahun lalu apabila menamatkan kempen di tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Mohd Harfizi mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap terhadap prestasi pasukan sepanjang kempen kejohanan itu.
“Saya juga bersedia menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh pihak pengurusan dan jawatankuasa selepas penilaian dilakukan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, pegawai pasukan, keluarga, penyokong dan pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad ini sepanjang kejohanan.
“Kepada para pemain, perjalanan anda masih panjang. Jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk terus bekerja keras dan kembali sebagai pemain yang lebih matang serta lebih kuat pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










