Hari Raya Azman Adnan tidak semeriah dulu

Hari Raya Azman Adnan tidak semeriah dulu

AZMAN Adnan (kiri), Nizaruddin Yusof (kanan) dalam fotografi Hari Raya Aidilfitri bersama Zainal Abidin Hassan (tengah), Nafis Abdullah (dua, kanan) serta Hafizal Ahmad di Ibu Pejabat Astro, Kuala Lumpur. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejak bapanya kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2017, sambutan Hari Raya Aidilfitri legenda bola sepak negara, Azman Adnan tidak lagi semeriah dulu.

Begitupun, situasi berbeza buat seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang akhirnya menyambut lebaran bersama wanita bergelar isteri selepas menamatkan zaman bujang pada usia 43 tahun, Februari lalu.

Bercerita tentang kenangan raya, Azman, 51, yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya, Selangor dan Kuala Lumpur pada zaman kegemilangannya dari 1989 hingga 2004 mengakui, pemergian bapa tercinta pada hari kedua raya meninggalkan kenangan mendalam.

“Terus terang saya cakap, sejak ayah meninggal dunia, Hari Raya Aidilfitri disambut dalam keadaan sederhana sahaja. Setiap kali hari raya kedua, saya akan teringat pemergian arwah ayah menghadap ilahi.

“Rasa kehilangan itu masih menebal sehingga sekarang dan sukar dilupakan, kenangan dia bersama saya sangat banyak dan luar biasa. Yang mana ikuti karier saya tahu apa yang arwah ayah sudah lakukan sehingga saya jadi pemain bola sepak

“Sekarang saya akan beraya bersama emak dan adik beradik di Bandar Tasik Selatan, namun seperti saya cakap, sambutan tidak semeriah dahulu, jika arwah ada biasanya kami akan balik kampung di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Allahyarham Adnan atau lebih mesra dipanggil Pak Nan merupakan bekas tentera yang sangat meminati bola sepak dan pernah menubuhkan pasukan dikenali sebagai Kotai FC.

Minat Pak Nan terhadap bola sepak tidak terhad kepada menyokong semata-mata tetapi beliau turut mengambil inisiatif melatih anak-anaknya sehingga melahirkan bintang seperti Azman dan abangnya, Azhar.

Sementara itu, lain pula cerita buat Nizarudin yang tidak sabar untuk menyambut lebaran di rumah mentua.

“Alhamdulillah saya baru mendirikan rumah tangga Februari lalu dan raya kali ini pastinya ada kelainan. Ramadan pun saya ada teman berbuka dan sahur. Ini detik yang ditunggu-tunggu selama ini untuk hidup berumah tangga.

“Raya pertama saya akan beraya di Seksyen 20 Shah Alam di rumah mentua sebelum balik beraya bersama keluarga saya di Gombak, dekat-dekat sahaja. Kenangan paling manis untuk raya sebenarnya ketika mak, datuk dan nenek saya masih ada.

“Ketika itu, kami akan beraya di kampung mak di Melaka. Untuk Aidilfitri kami jarang beraya di belah ayah kerana di Kelantan Aidiladha lebih meriah,” katanya yang kini menceburi bidang percetakan di Puchong, Selangor.

Azman dan Nizaruddin ditemui dalam sesi fotografi raya bersama seorang lagi legenda bola sepak, Datuk Zainal Abidin Hassan serta dua pengulas bola sepak terkenal Astro Arena, Hafizal Ahmad serta Nafis Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abang Botak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya