PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi bukan sekadar medan pertembungan parti dan gabungan politik utama tanah air, malah turut menjadi platform eksperimen buat parti-parti kecil termasuk yang baharu muncul untuk membina jenama politik masing-masing.
Buktinya, selain parti dalam gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), beberapa nama lain turut menyuarakan hasrat untuk terlibat dalam proses demokrasi di negeri selatan tanah air.
Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, susulan pergeseran antara beliau dan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, gerakan ‘Reset’ yang dipimpin bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas perpecahan dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dijangka mencuri tumpuan kancah politik tempatan.
Kedua-dua pemimpin nasional itu telah menyuarakan hasrat untuk terlibat dalam PRN Johor, walaupun usia gerakan masing-masing masih terlalu baharu berbanding parti-parti besar seperti UMNO, MCA, Pas, DAP dan PKR.
Biarpun begitu, setiap parti dijangka memasuki gelanggang PRN Johor dengan matlamat berbeza, sama ada untuk memenangi majoriti bagi membentuk kerajaan negeri, mengambil alih pentadbiran sedia ada atau sekadar memecahkan undi di kawasan tertentu.
Pemerhati politik sebelum ini mendakwa kehadiran Bersama di PRN Johor bukan bertujuan untuk memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya lebih kepada menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) memperoleh majoriti.
Jika benar, kerusi DUN Bukit Batu yang disandang wakil PKR, Arthur Chiong Sen Sern pastinya menjadi sasaran utama memandangkan ia merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti berkenaan pada PRN 2022.
Menurut Arthur, pihaknya telah menggerakkan jentera PH bagi memastikan kerusi berkenaan kekal dimenangi gabungan tersebut, khususnya calon PKR bagi menjaga maruah dan kedudukan parti di Johor.
“Kita tidak memandang ringan perkara itu, tetapi mereka (Bersama) perlu menjelaskan apakah objektif penyertaan mereka dalam PRN Johor, termasuk dasar dan manfaat yang ingin ditawarkan kepada rakyat setempat.
“Sebelum ini jurucakap Bersama berkata, mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN. Persoalannya, adakah mereka mempunyai kekuatan itu sedangkan struktur organisasi mereka di negeri ini juga masih belum jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, gerakan Reset yang dijangka mengumumkan hala tuju serta jajaran kerjasama politik mereka esok turut dilihat berpotensi mengintai beberapa kerusi di Johor.
Walaupun Bersatu telah berpecah, ramai pemerhati politik melihat kem Hamzah lebih kuat berbanding kem Muhyiddin, khususnya menjelang PRN Johor kali ini.
Pada masa sama, parti-parti kecil lain turut menyatakan hasrat untuk menguji kekuatan masing-masing dalam PRN Johor, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Sama ada parti-parti kecil dan baharu ini mampu meraih undi atau kehilangan wang deposit, ia amat bergantung sepenuhnya kepada strategi kepemimpinan serta calon yang ditampilkan dalam menarik sokongan rakyat Johor.
Apa yang pasti, PRN Johor bukan sahaja akan menentukan pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, malah dijangka turut memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang berkemungkinan diadakan lebih awal daripada tempoh matang. – UTUSAN










