Synology Pamer Solusi Data Sedia-AI di COMPUTEX 2026

Synology Pamer Solusi Data Sedia-AI di COMPUTEX 2026

PHILIP WONG mengetengahkan inovasi pengurusan data terbaharunya di COMPUTEX 2026 melalui pengenalan rangkaian solusi yang komprehensif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Taipei (Taiwan): Synology mengetengahkan inovasi pengurusan data terbaharunya di COMPUTEX 2026 melalui pengenalan rangkaian solusi yang komprehensif.

Langkah ini bertujuan membantu sektor perniagaan mengurus, melindungi, dan memanfaatkan nilai data mereka dengan lebih berkesan dalam persekitaran kerja hibrid yang kini semakin dipacu oleh teknologi AI.

Antara yang ditampilkan dalam pameran tersebut termasuklah DiskStation Manager (DSM) generasi baharu, ActiveProtect Manager 2.0 dan perkakasan DP5200 versi terkini, ekosistem pengawasan video yang diperluas, penambahan baharu dalam Synology Office Suite, serta ekosistem awan peribadi siri Bee untuk kegunaan individu dan domestik.

“Data adalah nadi bagi semua yang kami hasilkan, dan kepercayaan pula adalah teras utamanya,” ujar Philip Wong, Pengerusi dan Pegawai Eksekutif Synology.
“Sama ada melibatkan infrastruktur perusahaan mahupun penyelesaian awan peribadi, setiap produk direka untuk memberikan kawalan penuh kepada pengguna atas data mereka. Dengan sokongan aspek keselamatan, keandalan, dan privasi tanpa kompromi, para pengguna sentiasa dapat melangkah ke fasa seterusnya dengan penuh keyakinan,” kata beliau lagi.

Rerurai pameran SYNOLOGY di COMPUTEX 2026

Mengoptimumkan data perniagaan bagi menentukan hala tuju operasi yang jelas melalui DSM generasi baharu

DSM generasi baharu ini menandakan peralihan Synology daripada pengurusan storan tradisional kepada platform data pintar untuk perusahaan. Langkah ini membolehkan organisasi mengendalikan aliran kerja AI dalam premis, menganalisis data operasi, dan meningkatkan kejelasan sistem, sambil memastikan maklumat sensitif perniagaan kekal di dalam kawalan dalaman mereka.

Bagi membantu syarikat yang ingin mengguna pakai AI, DSM menawarkan sokongan untuk NAS GPU dan perkakasan AI khusus bagi membolehkan aliran kerja AI beroperasi di premis sendiri tanpa kebergantungan penuh pada platform awan luaran. Ciri tadbir urus AI turut diperkenalkan, merangkumi sistem kawalan keselamatan sedia ada, Kawalan Akses Berasaskan Peranan (Role-Based Access Control) yang diperluas, serta pemantauan yang lebih jelas terhadap akses dan penggunaan data organisasi.

Demi memenuhi keperluan penggunaan berskala lebih besar dan meluas, DSM turut dilengkapi dengan pemantauan sistem yang dipertingkat, pengurusan log berpusat, Pengurus Kluster (Cluster Manager), serta keupayaan pelaksanaan secara besar-besaran. Ini sekali gus membantu pasukan IT meningkatkan kecekapan operasi, kesediaan audit, dan pengurusan keselamatan di pelbagai lokasi.

Memperkukuh Ketahanan Siber melalui ActiveProtect Manager 2.0 dan DP5200

Synology turut memperkenalkan ActiveProtect Manager 2.0, platform perlindungan data perusahaan yang direka untuk membantu organisasi meningkatkan ketahanan siber dan kelangsungan perniagaan. Versi terbaharu ini meluaskan skop perlindungan merangkumi perkhidmatan awanan dan platform virtualisasi, termasuk Microsoft Azure Virtual Machines, Amazon EC2, Nutanix AHV, Proxmox VE dan Google Workspace.

ActiveProtect Manager 2.0 turut menambah ciri pengesanan anomali dan ancaman siber (malware) berasaskan AI bagi membantu mengenal pasti aktiviti salinan data (backup) yang mencurigakan, seperti kadar perubahan yang luar biasa atau pemadaman secara besarbesaran. Keupayaan Auto Fallback miliknya pula membantu organisasi memulihkan data daripada versi salinan data terakhir yang tidak terjejas apabila ancaman dikesan, sekali gus menyokong proses pemulihan yang lebih pantas dan selamat selepas serangan siber.

Siri ActiveProtect Manager 2.0 kini diperkasakan lagi melalui pengenalan perkakasan DP5200 baharu. Langkah ini menawarkan pilihan pelaksanaan yang lebih fleksibel kepada perniagaan bagi melindungi data di pelbagai persekitaran IT.

Kolaborasi tempat kerja lebih selamat dengan ChatPlus dan Meet

Synology Office Suite kini diperluas dengan pengenalan ChatPlus dan Meet, sekali gus membawakan komunikasi tempat kerja yang selamat, fungsi transkripsi dan terjemahan berasaskan AI, serta kawalan pengurusan bertaraf perusahaan bagi organisasi yang ingin mengekalkan data kolaborasi di premis sendiri.

Memperluas skop keselamatan perniagaan melalui pengawasan, kawalan akses, dan pemantauan awan hibrid

Bagi aspek keselamatan fizikal, Synology melangkah setapak lagi dalam memperkukuh ekosistem pengawasannya melalui pengenalan penyelesaian kawalan akses baharu, kamera kubah (dome cameras), serta perkakasan Deep Video Analytics. Penambahan ini menyokong fungsi jejak semula kejadian yang lebih pintar, pemantauan di pelbagai lokasi, serta pengawasan hibrid melalui Surveillance365, sekali gus membantu organisasi menguruskan operasi keselamatan dengan lebih cekap.

Membawakan pengalaman awan peribadi kepada individu dan isi rumah

Bagi pengguna individu dan isi rumah, ekosistem awan peribadi Bee Series kini membawakan lebih banyak pilihan melalui BeeStation, BeeStation Plus, BeeCamera dan Synology Deep Search. Rangkaian produk ini menawarkan cara yang lebih mudah untuk mengurus, memantau, dan mencari data peribadi, sambil mengekalkan privasi serta kawalan penuh di tangan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN