Tiada belas ihsan buat Hong Kong

Tiada belas ihsan buat Hong Kong

AKHYAR Rashid membawa bola ketika sesi latihan Harimau Malaya, semalam.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak akan menunjukkan belas ihsan dalam perlawanan menentang Hong Kong malam ini walaupun pernah mengemudi pasukan negara itu.

Beliau tetap berbangga melihat kejayaan bekas anak didiknya sehingga terpilih mewakili skuad kebangsaan Hong Kong ketika ini.

Namun, Pan Gon memberi jaminan bahawa Harimau Malaya akan bermain bermati-matian untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu.

“Kita akan lawan, saya menjangka ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat. Walaupun pernah menjadi jurulatih Hong Kong sebelum ini, namun kini saya merupakan pasukan lawan mereka.

“Jadi, Malaysia akan buat ‘all out‘. Kita akan lakukan yang terbaik untuk beri cabaran kepada mereka kerana memang itu falsafah bola sepak yang dipegang kita.

“Kita bukan sahaja mahu mengawal permainan, tetapi mahu menguasainya, Harimau Malaya akan memaksa pemain Hong Kong membuat kesilapan dan kita akan lakukan lebih berbanding perlawanan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena perlawanan persahabatan menentang Hong Kong di Hotel Thistle, di sini,semalam.

Pan Gon berharap, anak buahnya mampu membuatkan penyokong Harimau Malaya gembira dan bangga dengan pencapaian mereka.

“Semalam, pasukan Malaysia bawah 22 telah menewaskan pasukan Hong Kong di Singapura. Jadi, kita berharap akan ada kemenangan berganda dalam perlawanan menentang Hong Kong esok (hari ini), mari buat rakyat Malaysia gembira,” jelasnya.

Malaysia menjulang Piala Merlion buat kali pertama selepas menewaskan skuad B-22 Hong Kong 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin.

Dalam pada itu, Pan Gon turut menyatakan sepanjang 12 tahun pengalaman bergelar jurulatih, beliau tidak pernah mendapatkan skuad ‘sempurna’ seperti yang diidamkan.

“Dalam bola sepak, memang tidak boleh dapat 100 peratus apa yang kita mahukan, itu pengalaman saya selama 12 tahun menjadi jurulatih dengan tiada situasi yang ‘perfect’ tetapi banyak situasi kita berdepan cabaran, namun itu tidak bermakna kita akan menyerah kalah.

“Sebaliknya, kita atasi situasi tersebut kerana apa yang penting, beri kepercayaan kepada pemain dan bermain sebagai sebuah pasukan.

“Memang rasa sedih dua pemain tidak dapat bersama tetapi kita ada 25 pemain dan sesiapa sahaja boleh bermain kesebelasan utama, ini kerana kita merupakan sebuah pasukan yang kuat,” jelasnya ekoran terpaksa menggugurkan Arif Aiman dan Endrick Dos Santos daripada skuad kebangsaan selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan.

Pada perlawanan menentang Turkmenistan Khamis lalu, Harimau Malaya menang dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Akhyar Rashid pada babak pertama perlawanan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya