LONDON: Erik ten Hag mengenakan beberapa hukuman terhadap Manchester United susulan kekalahan memalukan 7-0 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Isnin lalu.
Selepas hanya ketinggalan 1-0 pada babak pertama, United seakan ‘menyerah kalah’ pada separuh masa kedua apabila Reds menambah enam lagi jaringan untuk memberikan kekalahan terburuk kepada Red Devils sejak Boxing Day 1931.
Kekalahan itu mencetus perdebatan di media sosial, termasuk legenda United Roy Keane yang mengecam pemain senior kerana kekurangan kepimpinan.
Begitupun, Ten Hag seorang jurulatih yang sangat berdisiplin mengenakan hukuman kepada pemainnya.
“Keputusan yang teruk. Cara kami mengawal bola dan membiarkan gol memasuki gawang benar-benar menjengkelkan,” kata Ten Hag.
Menurut The Mirror, Ten Hag menghukum pemain dengan membiarkan mereka duduk diam sambil mendengar sorakan kuat penyokong Liverpool dari bilik persalinan di Anfield.

Ten Hag juga mengancam untuk menghantar pemain pasukan utama ke skuad simpanan jika mereka mengulangi kesilapan asas.
“Ten Hag amat berang dan beritahu pemain, mereka bernasib baik dapat menaiki bas pasukan pulang ke Old Trafford dan tidak pulang bersama peminat,” kata sumber pasukan kepada The Mirror.
Pengendali berusia 53 tahun itu mahu pemain menjadikan kekalahan sebagai motivasi untuk bangkit apabila menerima kunjungan Real Betis dalam aksi Liga Europa esok.
Menurut The Mail, Ten Hag juga menghukum pemain dengan mengarahkan mereka datang seawal pukul 9 pagi untuk latihan pada keesokan hari selepas kekalahan di Anfield.
Dia kemudian memainkan klip video aksi menentang Liverpool yang disunting bagi membuatkan pemain menjadi ‘lebih geram’.
Ten Hag juga memanggil pakar psikologi sukan Belanda, Rainier Koers bagi ‘menyembuhkan’ pemain.
Katanya, United perlu segera bangkit atau bakal dihukum pula oleh kelab Sepanyol, Betis di depan penyokong sendiri. – AGENSI