KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2026 merupakan platform untuk pemain industri dan pakar dari seluruh Malaysia untuk berkumpul serta berkongsi ilmu mengenai pembinaan.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, negeri itu kini berada pada titik perubahan penting menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030).
Beliau berkata, pelan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai jangka panjang untuk rakyat.
“Sektor pembinaan akan memainkan peranan penting dalam transformasi ini. Keutamaan kita jelas iaitu memperkukuh pelaksanaan, menambah baik koordinasi dan memastikan projek dilaksanakan secara cekap, telus serta memberi nilai berkekalan,” katanya.
Program anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Construction Industry Development Board Malaysia bersama Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. itu merupakan edisi kedua selepas di anjurkan di Kuching, Sarawak.
Ia mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh akses kepada pengetahuan industri, meningkatkan penyertaan serantau dan memastikan pembangunan yang lebih inklusif dalam ekosistem pembinaan negara.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan melaburkan lebih RM150 juta bagi memperkukuh ekosistem pembinaan Sabah melalui pendigitalan, kecemerlangan teknikal dan pembangunan modal insan.
Menurut beliau, CIDB Malaysia turut menubuhkan fasiliti latihan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di Kota Kinabalu dengan pelaburan RM2.25 juta.
“Ini bagi membantu pemain industri tempatan meningkatkan keupayaan dalam teknologi BIM yang penting untuk meningkatkan produktiviti dan pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata, Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) Sabah juga diperkukuh sebagai fasiliti ujian bertaraf antarabangsa dengan pelaburan sekitar RM19.4 juta bagi menyediakan perkhidmatan ujian bahan, pemeriksaan dan sokongan teknikal secara tempatan.
“Selain itu, CIDB turut melabur RM130.6 juta bagi membangunkan kampus eco Akademi Binaan Malaysia (ABM) baharu di Beringgis, Papar yang bakal menjadi kampus ABM paling moden di negara ini dan mampu menempatkan sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa,” katanya.
Alexander Nanta berkata, ABM Sabah telah melatih lebih 195,000 orang sejak 2001 sekali gus membuka peluang pekerjaan bermakna dalam industri pembinaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Penyertaan kukuh dalam ICW Borneo 2026 mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi pembangunan Sabah khususnya dalam bidang pembangunan infrastruktur, pembinaan mampan dan pertumbuhan industri,” katanya.
ICW Borneo 2026 turut menampilkan Sidang Kemuncak Kelestarian Pembinaan (CSS) 2026 bertemakan ‘Daripada Aspirasi kepada Tindakan: Merealisasikan Masa Depan Mampan Sabah’ yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan profesional bagi membincangkan pendekatan praktikal dalam memperkasa infrastruktur mampan, penerapan ESG dan pembinaan rendah karbon.
Acara itu turut menampilkan pelbagai sesi teknikal dan industri termasuk pengurusan risiko kontrak pembinaan, pendigitalan pembinaan melalui BIM serta program Bootcamp dan Bicara Pertandingan Kren Kebangsaan. – UTUSAN










