RTG sedia teroka sukan baharu

RTG sedia teroka sukan baharu

Dr. Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari memberi bayangan kementeriannya bersedia menerokai potensi sukan-sukan lain untuk disenaraikan dalam Program Road to Gold (RTG) dalam usaha memperkasakan misi memburu pingat emas sulung negara di pentas Olimpik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan rasmi mengenai perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa RTG yang dijadualkan berlangsung pada 19 Mei ini.

“Itu saya akan maklumkan selepas mesyuarat RTG nanti, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi tahun 2026 hingga 2030 di sini semalam.

Sebelum ini, Taufik pernah memberitahu bahawa sebarang keputusan termasuk perubahan atau langkah baharu berhubung program berprestasi tinggi itu akan diumumkan pada bulan ini.

Mengulas mengenai peluang skuad hoki kebangsaan untuk kembali disenaraikan dalam program tersebut, Taufiq menjelaskan bahawa perkara itu antara agenda yang akan diperincikan pada mesyuarat akan datang.

Jelasnya, beliau mahu melihat landskap sukan negara dengan perspektif yang lebih terbuka dan tidak hanya bergantung kepada jenis sukan tradisional yang sering diberikan tumpuan sebelum ini.

“Mengenai peluang hoki kembali disenaraikan dalam RTG, itu adalah salah satu perkara yang kita akan bincangkan. Saya akan menegaskan bahawa kita harus melihat landskap sukan itu lebih luas lagi. 

“Kita tidak ingin hanya terperangkap pada sukan yang sama. Kita ingin membuka lembaran yang lebih luas untuk sukan-sukan Malaysia kerana matlamat asal RTG itu adalah memperoleh emas pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN