Prestasi KBS masih belum memuaskan

Prestasi KBS masih belum memuaskan

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bergambar bersama para kontinjen negara ketika ketibaan kepulangan kontinjen negara selepas Sukan Asia Hangzhou di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi maklum balas tentang pencapaian yang diumumkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Walaupun KBS menyenaraikan 22 perubahan telah dilakukan namun perkara itu nampaknya hanya indah khabar dari rupa apatah lagi perubahan yang dilakukan itu sudah ada dalam dasar sukan sedia ada.

Contohnya pengumuman kempen Road to Gold (RTG) yang mana setiap menteri sukan yang memegang jawatan ini juga sering menggunakan pelbagai slogan untuk mendapatkan pingat emas Olimpik Malaysia pertama.

Keduanya pula tentang isu Jawatankuasa Pertikaian Sukan (SDC) yang sudah termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 dalam Bahagian VI Perkara 28 hingga 31 telah disebut khusus dalam akta ini jadi mana mungkin ini adalah satu pembaharuan?

Ketiga, isu pegawai pengiring atlet juga menjadi pencapaian yang disenaraikan walhal ia sudah menjadi amalan turun temurun atlet akan ditemani pegawai pengiring untuk ke mana-mana kejohanan antarabangsa.

Isu paling utama yang saya kira menjadi pertikaian adalah apabila Hannah Yeoh mengumumkan tiada lagi permohonan penganjuran sukan dari Pesuruhjaya Sukan.

Jika dilihat menteri sebelum ini akan melakukan pindaan subseksyen tidak relevan di Parlimen seperti yang dilakukan oleh Khairy Jamaluddin atau Datuk Seri Azalina Othman Said, namun Hannah hanya mengumumkan sahaja tanpa ada pindaan yang dikhuatiri melanggar peraturan sukan sedia ada.

Pengumuman di media sahaja tidak cukup, Hannah dan pasukannya perlu mengkaji Akta Pembangunan Sukan 1997 dan melakukan pindaan di Parlimen supaya arahan beliau sah dari sudut undang-undang kerana tanpa kelulusan Pesuruhjaya Sukan, setiap anjuran kejohanan sukan yang dilakukan oleh persatuan sukan tertentu perlu menanggung sendiri isu melibatkan kecederaan dan keselamatan atlet.

Ini termasuk apabila pindaan seksyen belum dilakukan sepenuhnya di Parlimen, arahan Hannah tidak sah dan masih boleh dikenakan tindakan oleh Pesuruhjaya Sukan kerana ia masih dalam bidang kuasa mereka.

Terdapat juga beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan KBS yang saya akui bagus seperti merakyatkan fasiliti sukan. Melalui kaedah ini tiada amalan tender orang tengah untuk mengaut keuntungan atas angin membabitkan agensi kerajaan.

Selain itu, inisiatif Youth Capsule juga adalah sesuatu yang layak diberi pujian kerana mengurangkan bebanan buat belia yang sedang menjalani latihan industri atau sedang mencari pekerjaan. Perubahan yang dinyatakan tersebut kebanyakannya sudah dilakukan oleh menteri sebelum ini.

Saya lihat pengumuman pencapaian KBS ini tidak lebih daripada syok sendiri malah inisiatif yang dilakukan belum cukup kuat bagi mengatakan ada usaha untuk memperkukuh ekosistem sukan sedangkan di peringkat dasar tiada apa-apa perubahan berjaya dilakukan.

Ia hanya pengumuman kosong tanpa ada tindakan dari sudut legislatif. Saya harap Unit Komunikasi Korporat KBS mengkaji dahulu pencapaian KBS sebelum menguar-uarkan pada pihak media kerana ia agak memalukan jika perkara asas dan dasar lama pun mereka masih kata pencapaian baharu. – UTUSAN

YUSLAINI AZMI
Pelajar Ijazah Sarjana Psikologi Pendidikan UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya