KUALA LUMPUR: Permohonan pengampunan yang baharu difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tidak berada dalam pengetahuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Hannah berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan itu dan tidak boleh memberikan sebarang ulasan.
Menurutnya, sebarang kenyataan hanya boleh dibuat sekiranya terdapat maklumat rasmi yang lengkap dan disahkan oleh pihak berkaitan.
“Saya tidak mempunyai butiran sekarang, jadi saya tidak mahu mengulas mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Program Baiti Jannati (PBJ)@Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak di sini hari ini.
Sebelum ini, Najib dilaporkan telah memfailkan permohonan baharu untuk pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Permohonan itu dipercayai dibuat Ramadan lalu dengan salinannya dihantar kepada Istana Negara.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian berjumlah AS$1.18 bilion yang dialami SRC International Sdn. Bhd. selepas didapati melakukan salah laku dalam jawatan awam. – UTUSAN










