543 kawasan hijau KL sudah diwartakan

543 kawasan hijau KL sudah diwartakan

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 543 kawasan hijau dan kawasan lapang awam di Kuala Lumpur sudah diwartakan setakat ini dalam usaha kerajaan memastikan tanah komuniti tidak hilang akibat tekanan pembangunan bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, jumlah itu meningkat selepas empat lagi kawasan hijau dan tanah lapang awam diwartakan menerusi pengumuman terbaharu Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), hari ini.

Katanya, empat tapak itu melibatkan dua kawasan lapang di Jalan Damai Puspa, Alam Damai, Bandar Tun Razak serta dua plot di Taman Segar, Cheras.

Hannah berkata, dua plot di Taman Segar itu terdiri daripada sebuah taman permainan dan dewan komuniti di Persiaran Lemak yang sudah lama digunakan penduduk setempat.

“Dengan tambahan terbaharu ini, jumlah keseluruhan kawasan hijau dan kawasan lapang yang berjaya diwartakan kini meningkat kepada 543 kawasan.

“Kita tidak mahu tanah-tanah ini hilang satu hari nanti kerana di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, tanah-tanah ini sangat berharga,” katanya pada sidang akhbar di Taman Rekreasi Taman Segar, Cheras di sini.

Hannah berkata, JWP turut menubuhkan pasukan khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang di ibu negara.

Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan kawasan hijau yang menjadi ruang rekreasi, riadah dan sosial komuniti terus dilindungi untuk kegunaan jangka panjang.

“Kuala Lumpur mesti menjadi bandar yang mesra warga tua, sebab itu ruang tanah seperti ini sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited memastikan lebih banyak kawasan kejiranan dilindungi sebagai kawasan hijau.

“Sedikit pengubahsuaian dalam rancangan tempatan akan dibuat bagi memastikan tapak berkenaan kekal sebagai kawasan hijau dan tidak boleh disentuh untuk pembangunan lain,” katanya.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai pula berkata, pewartaan kawasan hijau di Taman Segar merupakan berita baik kepada penduduk kerana kawasan itu sudah lama digunakan untuk aktiviti harian komuniti.

Beliau berkata, pejabat menteri turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menaik taraf longkang di sekitar taman berkenaan demi keselesaan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN