Cubaan seludup ‘scammer’ warga China gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seludup ‘scammer’ warga China gagal

MOHAMAD A’sim Md Ali (kanan) memberi penerangan berhubung operasi dijalankan semasa sidang media di Pejabat Imigresen negeri di Kompleks KDN, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri membanteras cubaan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China yang dipercayai merupakan seorang scammer semasa pemeriksaan sebuah kenderaan di Kaunter Pos Imigresen Padang Besar, pada 17 April lepas.

Menerusi operasi sekitar pukul 3.10 petang itu, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bernombor pendaftaran Thailand telah ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad A’sim Md Ali berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati dua lelaki warga Thailand berada dalam kenderaan itu sebelum pegawai menemui seorang lagi lelaki warga China sedang bersembunyi di lantai tempat duduk belakang dalam keadaan berbaring serta dilindungi baju sejuk berwarna hitam.

“Siasatan awal mendapati warga China itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk masuk ke Malaysia serta tiada rekod pergerakan dalam sistem Jabatan Imigresen.

“Suspek juga mengaku sebelum ini bekerja sebagai scammer di Kemboja dan dipercayai masuk ke Malaysia bagi meneruskan aktiviti tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Mohamad A’sim berkata, susulan itu, warga China berkenaan juga telah dituduh di Mahkamah Seksyen Kangar pada 29 April lepas di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kedua tertuduh warga Thailand yang ditahan juga turut didakwa di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas pertuduhan bersama.

“Sehingga 11 Mei, masih tiada keputusan direkodkan oleh mahkamah setakat ini dan sebutan fakta serta hukuman bagi kedua warga Thailand itu ditetapkan pada 14 Mei ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad A’sim berkata, Jabatan Imigresen Perlis juga telah melaksanakan sebanyak 166 operasi bermula bagi tempoh sejak awal tahun ini sehingga semalam.

Beliau berkata, dari jumlah itu, sebanyak 1,930 warga asing telah diperiksa di mana 130 PATI turut ditahan bagi siasatan lanjut.

“Sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen negeri turut melaksanakan 359 operasi dengan jumlah tangkapan PATI seramai 420 orang secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN