LONDON: Manchester United mungkin dikeluarkan daripada pasaran untuk dijual selepas Keluarga Glazer dilaporkan merubah fikiran dan membuat ‘pusingan U’.
Meskipun mereka sebelum ini bersetuju mengadakan rundingan dengan Sir Jim Ratcliffe dan Sheikh Jassim Hamad al-Thani dari Qatar, namun ia hanya pertemuan atas meja.
Bagi mengelak kelab daripada dijual, Glazer mempertimbangkan skim tunai dalam pangkalan peminat.
United sebelum ini menerima beberapa tawaran, namun semuanya tidak memenuhi harga ditetapkan Glazer, 6 bilion pound (RM32.16 bilion).
Justeru, salah satu pilihan yang mungkin diambil Glazer adalah membuka sebuah syarikat baharu yang akan menggunakan aliran wang tunai untuk operasi dagangan hak komersial.
Situasi tersebut membolehkan pemilik mengambil kesempatan daripada peminat global United dan ia tidak melibatkan apa yang berlaku di atas padang.

Langkah sebegitu akan mengukuhkan hubungan mereka dengan kelab dan dalam masa sama mengecilkan potensi untuk United dijual.
Persediaan luar biasa itu akan menyaksikan Glazer bergabung tenaga dengan seorang pembiaya, Ares Management yang berpangkalan di Los Angeles dan mempunyai aset 246 bilion pound (RM1.3 trilion) untuk mewujudkan entiti baharu.
Ini akan membolehkan mereka berpotensi mengumpul wang daripada jualan digital seperti permainan video, pelesenan barangan dan ia berasingan dengan operasi di atas padang.
Begitupun, Glazer difahamkan masih melihat pelbagai pilihan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

Ia termasuk penjualan penuh saham kelab yang menjadi hasrat Sheikh Jassim, seorang hartawan dari ahli keluarga diraja Qatar.
Ineos yang dimiliki oleh lelaki terkaya Britain, Ratcliffe pula masih berminat memiliki 69 peratus pegangan Glazer tetapi bukan baki saham kelab yang lain.
Raine Group yang berpangkalan di Amerika Syarikat telah dilantik oleh Glazers untuk mengendalikan proses penjualan yang ditetapkan pada November lalu.
Kedua-dua pembida percaya sebarang perjanjian mesti diselesaikan pada atau sebelum 31 Mei bagi membolehkan pendekatan yang betul dilakukan.
Itu juga bagi membolehkan mereka membuat keputusan tepat dalam proses jual beli pemain pada jendela perpindahan musim panas. – AGENSI