FIFA buat Garuda menangis

FIFA buat Garuda menangis

PEMAIN dan pegawai skuad bawah 20 tahun Indonesia tidak mampu menahan sebak sebaik sahaja diberitahu tentang keputusan FIFA membatalkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pembantu jurulatih skuad bola sepak Indonesia, Nova Arianto mengakui tidak mampu menahan air mata daripada mengalir ketika memaklumkan kepada pemainnya bahawa mereka tidak akan beraksi dalam Piala Dunia Bawah 20 ­Tahun ­(B-20) 2023.

Kelmarin, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melucutkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 ekoran kebimbangan politik melibatkan penyertaan Israel.

Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, dan sokongan terhadap perjuangan Palestin di negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia itu menyebabkan penyertaan Israel dalam Piala Dunia B-20 ditentang hebat.

Selain Gabenor Jawa Tengah dan Gabenor Bali yang berterusan menggesa Israel di­singkir daripada kejohanan, ratusan penunjuk perasaan berarak di Jakarta bulan ini bagi membantah penyertaan negara itu.

FIFA dalam satu kenyataan berkata, pelucutan hak tuan rumah dibuat melihat kepada ‘perkembangan semasa’ dan tuan rumah baharu akan diumum secepat mungkin.

“Air mata ini mengalir kerana saya dapat merasakan apa yang dirasai pemain-pemain muda kami. Semua kerja keras dan pengorbanan selama bertahun-tahun sia-sia sahaja.

“Piala Dunia B-20 sepatutnya menjadi jambatan buat pemain muda bersaing dengan pasukan luar tetapi peluang itu hilang,” kata Nova.

Menurut Nova, dia hanya mampu berharap Indonesia tidak dikenakan hukuman lebih berat atas apa yang berlaku.

Kegagalan menjadi tuan ­rumah juga mengakibatkan ­Indonesia kerugian mencecah bertrilion rupiah dalam aspek ekonomi.

Menurut FIFA potensi sekatan terhadap Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) ‘mungkin diputuskan kemudian’.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Selepas menyampaikan surat daripada Pre­siden (Indonesia) Jokowi, dan bercakap panjang lebar dengan

Presiden FIFA, Gianni Infantino, kami mesti menerima keputusan FIFA untuk membatalkan hak penganjuran yang kami nantikan.

“Indonesia adalah anggota FIFA, jadi untuk urusan bola sepak antarabangsa, kami mesti mengikut peraturan yang ditetapkan.

“FIFA menganggap situasi sekarang tidak boleh diteruskan, kami mesti akur,” kata Presiden PSSI, Erick Thohir selepas rundingan di Doha.
Indonesia tidak pernah ­beraksi dalam kejohanan itu sejak 1979, namun layak secara automatik sebagai tuan rumah.

Israel layak ke kejohanan berkenaan buat pertama kali selepas menduduki tangga kedua di belakang England dalam ­pusingan akhir Kejohanan Eropah B-19. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya