Manjung paling banyak etnik Rohingya di Perak - Utusan Malaysia

Manjung paling banyak etnik Rohingya di Perak

SAARANI Mohamad merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026M di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bandar Manjung dikenal pasti mempunyai etnik Rohingya paling banyak di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Manjung yang pesat membangun dengan industri pembinaan dan maritim menjadi tumpuan etnik tersebut.

“Kebanyakan mereka memakai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kita pun tak pasti keasliannya,  sebab bilangannya terlalu ramai tetapi perkara ini dalam pemantauan.

“Kita juga mengambil maklum perkara itu menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta keluh-kesah dalam kalangan orang tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026M di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Bagaimanapun, Saarani tidak menyatakan jumlah etnik itu di Perak khususnya Manjung.

Katanya, peningkatan jumlah etnik itu boleh memberikan implikasi kepada rakyat tempatan termasuk aspek keselamatan.

Jelasnya, kesemua mereka kini dalam radar dan pemantauan agensi berkaitan.

“Dalam maklumat saya, ada yang telah membina rumah walaupun tidak kuat, tak kukuh tapi rumah dan ada sekolah pun.

“Sebab itu kita kena lihat dalam banyak aspek termasuk keselamatan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan statistik setakat April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Katanya, seramai 197,591 pemegang kad UNHCR adalah warga Myanmar dengan 128,200 daripada mereka merupakan etnik Rohingya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN