LONDON: David de Gea menolak tawaran awal Manchester United untuk penyambungan kontrak yang bakal berakhir hujung musim ini, namun rundingan masih berjalan.
Ketika dia menandatangani kontrak pada 2019, United membayar 375,000 pound (RM2.04 juta) seminggu, menjadikan De Gea penjaga gol termahal di dunia.
Pemain Sepanyol itu sudah membuat 500 penampilan bersama Red Devils sejak tiba di Old Trafford dari Atletico Madrid pada 2011.
De Gea sedar pada usia yang sudah mencecah 32 tahun, dia tidak wajar menerima sejumlah wang yang sama, namun masih mahukan nilai yang mencerminkan dirinya.
Dia kekal sebagai pilihan utama di bawah pengurus pasukan, Erik ten Hag dan rundingan sedang dijalankan untuk mendapatkan angka yang mampu memuaskan hati semua pihak.
Terdapat dakwaan bahawa United telah meletakkan tawaran yang baik kepada De Gea, namun dia menganggap nilai itu tidak memuaskan dan mahu jumlah tersebut ditambah.

Sementara itu, penyerang berbisa United, Marcus Rashford menafikan dakwaan dia menuntut perjanjian bernilai 500,000 pound (RM2.27 juta) seminggu untuk kekal di Old Trafford.
Rashford juga dikatakan menolak tawaran gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) yang membolehkannya menikmati gaji 400,000 pound (RM2.17 juta) seminggu.
Pemain antarabangsa England itu yang telah meledak 27 gol daripada 44 perlawanan musim ini akan tamat kontrak pada penghujung musim depan.
Menurut akhbar Britain, Daily Star, masa depan Rashford di Old Trafford kini tidak menentu ekoran urusan jual beli kelab yang masih berjalan, selain tuntutannya untuk mendapatkan gaji besar.
Rashford, 25, dalam akaun Twitter bagaimanapun menafikan dia menuntut gaji yang tidak munasabah daripada kelab.
“Sebelum perkara ini terus berlegar-legar, saya tegaskan bahawa ia semua mengarut!
“Kelab dan saya menghormati satu sama lain dan perkara itu akan kekal. Fokus saya mahu memberi penamat sebaik mungkin dalam liga dan memenangi trofi,” katanya. – AGENSI