Wendy korban Tahun Baharu Cina demi misi Olimpik

Wendy korban Tahun Baharu Cina demi misi Olimpik

WENDY Ng Yan Yee (berdiri depan, tujuh dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) serta barisan atlet kebangsaan dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Sukan Negara di Cafe Atlet MSN, Bukit Jalil. – MINGGUAN/SHIDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee sanggup mengorbankan cuti Tahun Baharu Cina kerana perlu menjalani latihan padat bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun dari 14 hingga 30 Julai depan.

Berasal dari Ipoh, Perak, dia tidak kisah hanya diberi cuti sehari demi memenuhi misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris lebih awal, sekaligus mengikut jejak idolanya, Datuk Leong Mun Yee yang membuat penampilan dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Mun Yee, yang kini bertindak sebagai penolong jurulatih kebangsaan pernah beraksi di lima edisi Sukan Olimpik bermula di Sydney 2000, disusuli Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 serta yang terakhir di ­Tokyo 2020.

Justeru Wendy perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik pada Kejohanan Dunia yang akan menjadi medan kelayakan pertama ke temasya itu.

“Tiada perancangan untuk buat rumah terbuka tahun ini kerana saya hanya diberi cuti sehari, saya juga tidak dapat pulang ke Ipoh tetapi mungkin saya akan melawat nenek sekejap.

“Tahun ini amat penting ­kerana kelayakan ke Sukan ­Olimpik 2024 sudah bermula.

“Biarpun saya tidak akan ke Sukan SEA (Kemboja) tetapi saya perlu persiapkan diri untuk Sukan Asia (Hangzhou),” kata­nya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Wendy membuat penampilan sulung Olimpik di London pada 2012, namun aksi terakhirnya di Tokyo 2020 berakhir dengan kekecewaan apabila gagal ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal.

Seandainya Wendy layak ke Paris tahun depan, ia bakal menjadi Olimpik terakhirnya memandangkan dia kini sudah menginjak usia 29 tahun.

“Saya rasa kalau badan saya masih boleh melakukan terjunan, saya akan cuba buat yang terbaik untuk negara.

“Beraksi di Olimpik adalah impian semua atlet, namun untuk menjadi Olimpian bukanlah mudah, untuk berjaya melayakkan diri juga boleh diibaratkan satu pencapaian yang besar,” ujar Wendy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya