KANGAR: Hubungan kerjasama di antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka berakhir dan ia akan diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang akan berlangsung hari ini.
Malah Pas juga berkemungkinan membuat keputusan mengenai pembentukan kerjasama dengan UMNO serta kumpulan ‘reset’ diterajui Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, hubungan kedua-dua parti itu di dalam Perikatan Nasional (PN) sudah sukar diselamatkan dan Pas dijangka mengambil pendirian memutus hubungan.
Katanya, Pas juga mungkin mengintai kerjasama dengan UMNO dan ‘reset’ bagi menghidupkan Muafakat Nasional (MN 2.0).
Namun menurutnya, ia mungkin membabitkan kerjasama tidak terhad memandangkan kerjasama dalam bentuk gabungan politik mencetuskan masalah daripada segi pengagihan kerusi dalam pilihan raya.
“Adakah Pas akan mengorbankan kerusi mereka khususnya di empat negeri khususnya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. UMNO dan ‘reset’ pula di kerusi di kawasan Bersatu. Melainkan jika Pas sanggup berkorban dalam soal kerusi itu.
“Bersatu pula sudah pastinya berdepan laluan cukup sukar jika hubungan dengan Pas berakhir. Undi Pas banyak membantu kemenangan calon Bersatu sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan status hubungan di antara Pas dan Bersatu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang akan diadakan hari ini.
Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu akhbar ini, hubungan antara kedua-dua parti di dalam PN itu sudah sukar diselamatkan dan Pas bakal melihat ruang kerjasama dengan parti politik lain.
Katanya, isu Perlis dan Negeri Sembilan antara yang akan dijadikan antara alasan terkuat bagi memutuskan hubungan tersebut.
“Pas juga sedang mengintai ruang kerjasama dengan UMNO namun menjadi persoalan besar sekarang, adakah UMNO menerima atau Pas akan bergerak solo.
“Apa yang pasti, perkara yang berlaku kebelakangan ini menampakkan hubungan Pas dan Bersatu akan terlerai,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadualkan hari ini dijangka memberi tumpuan kepada persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, agenda utama mesyuarat berkenaan adalah bagi memperkukuhkan persiapan jentera parti di kedua-dua negeri menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Menurutnya, mesyuarat itu juga akan mendengar pandangan daripada Pesuruhjaya Pas negeri berhubung situasi politik semasa.
“Mesyuarat esok (hari ini) lebih tertumpu kepada persiapan Pas Johor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN. Soal hubungan dengan Bersatu dan PN, mesyuarat akan mendengar pandangan daripada semua pesuruhjaya negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan PN negeri akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung status kerjasama dua parti itu.
Beliau bagaimanapun yakin kerajaan PN negeri akan kekal mentadbir Perlis sehingga berakhir tempoh penggal selewat-lewatnya Disember tahun depan disebalik apa juga berlaku membabitkan hubungan Pas dan Bersatu.-UTUSAN.










