KUALA LUMPUR: Setiap parti politik perlu memainkan peranan dalam menarik pengundi tanpa menyalahkan mana-mana parti politik lain termasuk yang baharu diwujudkan seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan tanggungjawab semua parti politik untuk melahirkan persaingan dengan cara yang lebih sihat.
“Setiap parti ada tanggungjawab untuk mendapat undi tanpa menyalahkan parti-parti yang lain. Pakatan Harapan (PH) perlu meraih sokongan pengundi mereka, begitu juga pengundi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), Ikatan Demokratik Muda (Muda) termasuk Bersama. Jadi, bagi saya kita lihat daripada sudut itu, semua yang lain itu satu persaingan yang sihat.
“Kalau betul pengundi rasa PH itu yang terbaik, mereka akan beri undi kepada PH, tidak perlu takut kepada Bersama. Cuma saya rasa ramai yang telah menzahirkan kekecewaan maka sebab itu kami tawarkan sesuatu yang berbeza,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kewujudan Bersama bertindak sebagai pemecah undi berikutan parti itu baru sahaja ditubuhkan, namun mengambil bahagian dalam pilihan raya, termasuk yang paling hampir iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mengenai peruntukan RM90 juta sewajarnya digunakan untuk pembangunan rakyat berbanding PRN, Nik Nazmi berkata, semua pihak perlu menghormati sistem demokrasi yang diamalkan.
“Bagi saya demokrasi memang ada harga, saya tidak memperkecilkan pandangan Zaliha tetapi kalau hendak jimat betul, tidak perlu buat pilihan raya terus.
“Kita tidak bolehlah kata dulu kita buat okay, bila orang lain buat tidak okay. Saya tidak nafikan ia menelan kos yang banyak, tetapi itu sebahagian daripada demokrasi dan kita negara demokrasi berparlimen, jadi kita perlu hormati sistem tersebut,” katanya.
Zaliha sebelum ini berkata, peruntukan RM90 juta bagi pelaksanaan PRN Johor sewajarnya digunakan untuk pembangunan rakyat terutama dalam suasana ekonomi geopolitik global tidak menentu.
Pengerusi PKR Johor itu turut berkata, dana sebesar itu sepatutnya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas perkembangan Bersama di Negeri Sembilan, Nik Nazmi berkata, persediaan dalam mendepani PRN itu sedang dijalankan.
Namun pihaknya masih belum memutuskan berapa jumlah kerusi yang akan diletakkan calon Bersama.-UTUSAN










