SUNGAI PETANI: Proton X50 dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pinang Tunggal, di sini merupakan kenderaan baharu yang dibeli.
Difahamkan, kenderaan utiliti sukan (SUV) dimiliki salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas itu baru sahaja diterima beberapa jam sebelum kejadian ngeri terbabit.
Menurut Ibrahim Ghazali, 39, kenderaan itu kepunyaan adik iparnya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, namun dipandu abang mangsa, Ahmad Shafiq, 27, yang merupakan anggota polis di Pulau Pinang.
Katanya, keluarga mentuanya termasuk anak lelakinya, Iskandar Arfan yang berusia tujuh tahun dalam perjalanan melawat kubur arwah bapa mertuanya di Merbok.
“Tengah hari tadi mereka singgah di rumah saya di Bertam Putra untuk mengambil anak lelaki saya yang turut terkorban dalam kemalangan itu.
“Mereka kelihatan teruja menaiki kereta baharu. Saya dimaklumkan mereka dalam perjalanan melawat kubur arwah bapa mentua di Merbok,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dalam kemalangan sekitar pukul 3.45 petang itu, kenderaan terbabit dipercayai dipandu Ahmad Shafiq yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular, Proton X50 itu ketika melalui jalan lurus di tempat kejadian dilihat memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori membawa muatan tanah.
Selain Ahmad Shafiq dan Ahmad Fahim, turut terkorban ialah Nora Mhd. Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan bayi berusia kira-kira enam bulan.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. – UTUSAN










