Malaysia berdepan risiko gelombang baharu tarif AS

Malaysia berdepan risiko gelombang baharu tarif AS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELEGAAN pembatalan sebahagian tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mungkin hanya sementara apabila Washington terus memperketat penguatkuasaan perdagangan melalui siasatan berkaitan buruh paksa, asal usul produk dan aktiviti pemindahan perdagangan melalui negara ketiga.

Perkembangan itu meletakkan negara pengeksport seperti Malaysia di bawah pemerhatian yang lebih rapi setelah cadangan tarif 10 peratus bakal dikenakan ke atas negara ini.

Persoalannya, adakah syarikat Malaysia benar-benar selamat daripada risiko tarif dan sekatan perdagangan yang baharu atau negara ini hanya memasuki fasa penguatkuasaan yang lebih kompleks?

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, risiko tersebut kepada Malaysia adalah sederhana hingga tinggi, namun masih boleh diuruskan. 

Katanya, Malaysia mungkin bukan sasaran utama, namun negara tetap terdedah kerana pendekatan perdagangan AS kini bukan sahaja tertumpu kepada tarif dan imbangan perdagangan, tetapi turut melibatkan isu buruh paksa, ketelusan rantaian bekalan, keselamatan ekonomi serta amalan pemindahan perdagangan melalui negara ketiga.

“Risiko sebenar bukan sahaja berpunca daripada apa yang berlaku di Malaysia, tetapi juga kemampuan negara mengawal dan memantau keseluruhan rantaian bekalan global yang terlibat dalam pengeluaran produk eksport.

“Terdapat satu kelemahan dalam naratif rasmi Malaysia apabila hujah bahawa negara tidak mengamalkan buruh paksa mungkin tidak mencukupi. Kebimbangan AS di bawah Seksyen 301 adalah lebih luas daripada aktiviti domestik semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pihak berkuasa AS berkemungkinan mahu mengetahui sama ada Malaysia mempunyai mekanisme yang mencukupi untuk memastikan bahan mentah, komponen atau produk separuh siap yang diimport daripada negara ketiga turut bebas daripada unsur buruh paksa.

Mengulas sektor yang paling terdedah sekiranya AS memperkenalkan tarif atau sekatan perdagangan baharu, Siong Hook berkata, industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, mesin dan peralatan, produk getah termasuk sarung tangan perubatan, peranti perubatan serta produk tenaga solar berdepan risiko lebih tinggi.

Katanya, sektor berkenaan mempunyai rantaian bekalan yang kompleks dan melibatkan input daripada pelbagai negara, sekali gus menjadikan isu asal usul bahan mentah dan komponen sebagai faktor kritikal.

“Terdapat kecenderungan menganggap semua produk yang dieksport dari Malaysia adalah produk Malaysia sepenuhnya. Hakikatnya, banyak produk eksport negara melibatkan komponen yang diimport dari pelbagai negara sebelum dipasang atau diproses semula di Malaysia.

“Dalam keadaan ini, risiko pemindahan melalui negara ketiga dan isu asal usul produk menjadi lebih penting daripada lokasi pemasangan akhir produk tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, cadangan tarif berkenaan lebih mencerminkan usaha AS membina semula halangan perdagangan susulan keputusan mahkamah yang membatalkan sebahagian tarif timbal balas sebelum ini.

“Jika dilihat secara keseluruhan, saya berpandangan isu ini 60 peratus bermotifkan politik dan perdagangan, manakala 40 peratus lagi berkaitan isu sebenar yang perlu diberi perhatian.

“AS kini menggunakan instrumen seperti Seksyen 301 dan isu buruh paksa untuk membina semula ‘tariff wall’ atau tembok tarif selepas berdepan kekangan dari sudut perundangan,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan melibatkan negara yang berada dalam kategori baik dalam laporan pemerdagangan manusia AS menunjukkan isu berkenaan tidak boleh dilihat semata-mata dari perspektif hak asasi manusia.

“Jika benar isu utama hanya buruh paksa, mengapa negara-negara yang mempunyai rekod lebih buruk tidak menjadi fokus utama? Ini menunjukkan terdapat elemen geopolitik dan ekonomi yang digunakan sebagai alat tekanan perdagangan,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi mengakui Malaysia masih mempunyai isu yang perlu ditangani, khususnya melibatkan pekerja migran dalam sektor tertentu.

Katanya, antara masalah yang sering dibangkitkan ialah yuran pengambilan pekerja yang tinggi sehingga mewujudkan situasi ikatan hutang, penahanan pasport serta pemotongan gaji yang tidak wajar.

“Malaysia bukan berada pada tahap yang sama seperti isu yang dibangkitkan terhadap Xinjiang di China, namun kita juga tidak boleh mendakwa masalah ini tidak wujud langsung.

“AS mahu melihat bukti penguatkuasaan, bukan sekadar kenyataan bahawa Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya telah mengambil beberapa langkah termasuk melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2026-2030 serta memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN