Negeri Sembilan cuba pikat Matias Conti, Mahmoud Al-Mardi - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan cuba pikat Matias Conti, Mahmoud Al-Mardi

AKSI perlawanan persahabatan di antara Negeri Sembilan FC dan Penang FC yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas penyerang Pahang dari Argentina, Matias Ruben Conti dan pemain tengah dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi merupakan antara pemain yang sedang diintai Negeri Sembilan FC bagi menyarung jersi pasukan itu menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan berkata, sememangnya terdapat perbincangan untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu namun pengesahan dan keputusan hanya akan ditentukan oleh pihak pengurusan dalam masa terdekat.

“Belum disahkan lagi, tunggu mesyuarat minggu ini dengan pihak pengurusan, saya rasa pengurusan atasan akan menetapkan. Memang ada perbincangan namun keputusan itu nanti bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau ditemui selepas perlawanan persahabatan pramusim di antara Negeri Sembilan dan Penang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.

Pada perlawanan tersebut Penang menang hasil jaringan pemain import, Giovane Gomes Da Silva dan Adriano Aparecido Narzico manakala gol tunggal Negeri Sembilan diperoleh menerusi sentuhan, Muhammed Shahrel Fikri.

K. Devan ketika ditemui pemberita selepas aksi persahabatan di antara Negeri Sembilan FC dan Penang FC yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Devan menambah, Negeri Sembilan akan mengambil sekurang-kurangnya lima orang pemain import daripada kuota sembilan pemain yang dibenarkan oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Pasukan sudah mengenal pasti semua pemain import tersebut dan ia akan diumumkan oleh pihak pengurusan dalam masa terdekat. Seorang pemain import musim lalu juga akan dikekalkan,” katanya.

Difahamkan, pertahanan dari Perancis, Herold Goulon merupakan pemain import dari musim lalu yang akan dikekalkan pasukan itu.

Sementara itu, jelas Devan lagi, persiapan perlawanan persahabatan pramusim kali ini pastinya akan memberi fokus kepada aspek kecergasan pemain selain untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan mereka selain berkenaan taktikal pasukan.

Apatah lagi jelas beliau, Negeri Sembilan membawa masuk kira-kira 14 pemain baharu tempatan ke dalam pasukan musim ini termasuk Muhammed Shahrel Fikri dari Selangor FC dan Mahali Jasuli dari Petaling Jaya City FC.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.