LIVERPOOL: Memulakan kempen sebagai calon juara, namun Liverpool dan Chelsea berkongsi nasib malang apabila Liga Perdana Inggeris tiba di pertengahan musim dengan kedua-duanya hampir pasti boleh melupakan kejuaraan, malah bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
Enam kekalahan dalam 18 perlawanan meletakkan Reds kini menghuni tangga kesembilan, berkongsi 28 mata bersama Blues yang menduduki tangga ke-10 dengan dibezakan oleh jumlah jaringan.
Hari ini, Liverpool dan Chelsea akan berentap di Anfield, dengan kedua-dua pasukan tidak rela kalah lagi kerana ia hanya akan memburukkan keadaan mereka yang sudah terlalu jauh ditinggalkan pendahulu, Arsenal – 19 mata.
Liverpool dan Chelsea juga perlu menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk mengejar pasukan tangga keempat, yang ketika ini dihuni Newcastle dengan 38 mata.
ANFIELD TITIK KEBANGKITAN

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mahu perlawanan menentang Chelsea menjadi titik kebangkitan pasukannya yang masih di landasan memburu beberapa trofi, sekali pun bukan Liga Perdana.
Reds yang masih dalam pemburuan gelaran Liga Juara-Juara dan Piala FA kembali mendapat sentuhan Darwin Nunez yang direhatkan ketika dimalukan 3-0 oleh Brighton minggu lalu.
Penyerang Uruguay itu bakal membentuk kombinasi bersama Mohamed Salah dan Cody Gakpo – rangkaian yang diharap mampu mengembalikan Liverpool di landasan kemenangan.
“Ia perlawanan sukar tetapi kami berharap Liverpool dapat kembali ke landasan sebenar bermula dengan perlawanan Liga Perdana di Anfield esok,” kata Klopp.
MUDRYK DITURUNKAN?
Wait for the wink. Excited? 😉 pic.twitter.com/2t4OKoyxD4
— Chelsea FC (@ChelseaFC) January 18, 2023
Senjata baharu Chelsea, Mykhailo Mudryk yang dibeli daripada Shakhtar Donetsk dengan harga 100 juta euro (RM465 juta) bakal menjadi tumpuan di Anfield hari ini.
Mudryk, 22, mampu menjadi faktor terbesar untuk mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan Blues.
Dia mungkin belum bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi diperkenalkan sebagai pemain gantian.
Hakim Ziyech, Kai Havertz serta Mason Mount dijangka mengetuai serangan, manakala Jorginho, Mateo Kovacic dan Conor Gallagher membarisi bahagian tengah.

Selain itu, Noni Madueke yang dibeli dari PSV Eindhoven juga sudah lulus ujian perubatan dan mungkin bersedia untuk membuat penampilan sulung.
Chelsea yang hanya menang tiga daripada 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan turut menerima khabar baik dengan kepulangan semula perancang utama, N’Golo Kante.
Kante, 31, sudah memulakan latihan bersama skuad utama selepas tersisih sejak lima bulan lalu akibat kecederaan hamstring.