Pasukan skuasy wanita lepasi sasaran di Mesir

Pasukan skuasy wanita lepasi sasaran di Mesir

MALAYSIA membawa pulang pingat gangsa daripada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Kaherah, Mesir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pingat gangsa dibawa pulang skuad wanita kebangsaan daripada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2022 di Kaherah, Mesir yang berakhir, kelmarin, melepasi sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Tanpa khidmat pemain perseorangan utama negara, S. Sivasangari yang ditimpa kecederaan akibat kemalangan, Jun lalu, harapan yang digalas oleh Rachel Arnold, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Yee Xin Ying pada awalnya nampak sukar untuk melepasi halangan sekurang-kurangnya suku akhir.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Major (Bersara), S. Maniam berkata, merangkul pingat gangsa pada kejuaraan berpasukan dunia memang tidak diduga sama sekali.

“Mara sehingga ke separuh akhir merupakan satu pencapaian yang besar buat kita kerana pada awalnya sasaran hanyalah untuk berada dalam kelompok lima terbaik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Malaysia mara sehingga ke separuh akhir dan bertemu pilihan pertama yang juga juara bertahan, Mesir, tetapi seperti yang dijangka skuad negara tumpas 0-2 kepada lawan yang dibarisi tiga pemain terbaik dunia.

Menurutnya, empat tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keenam dan selepas itu, pada 2020, Kejohanan yang sepatutnya dianjurkan di Malaysia selaku tuan rumah terpaksa dibatalkan gara-gara Covid-19.

PASUKAN Malaysia bergambar bersama pada upacara penyampaian pingat Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Duni. – IHSAN WSF

Jelas beliau, selepas mengharungi pelbagai cabaran, pencapaian pada kejohanan dunia kali ini menunjukkan peningkatan yang dipamerkan  pemain.

“Apa yang menjadi lebih manis ialah kita berjaya menewaskan Hong Kong kali ini yang mana negara itu merupakan pemenang pingat gangsa pada 2018, manakala, Malaysia sekadar di tempat keenam.

“Walaupun, kita tewas pada separuh akhir, pasukan negara masih mampu memberikan tentangan sengit kepada Mesir dan ini menunjukkan satu petanda yang baik,” ujarnya.

Maniam menambah, kejayaan skuad kebangsaan membawa pulang pingat gangsa memberi impak positif kepada skuasy tanah air dan beliau yakin, pencapaian lebih baik mampu dicapai tahun depan.

Pencapaian terbaik skuad wanita kebangsaan dalam kejohanan dunia ialah pada 2014 apabila Malaysia mara sehingga ke final di Kanada, sebelum tumpas kepada England. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya