Pemain bola sepak kudung menang emas Para Sukma

Pemain bola sepak kudung menang emas Para Sukma

Fakri Raimi Razak, pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru kategori F57 (kecacatan bahagian bawah badan) pada Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang menutup tirai temasya, kelmarin, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan semua dalam kalangan atlet para yang dilahirkan tidak sempurna, terdapat segelintir daripada mereka kehilangan status sempurna susulan ditimpa kemalangan yang sekali gus mengubah episod kehidupan mereka.

Antara atlet tersebut adalah Fakri Raimi Razak, pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru kategori F57 (kecacatan bahagian bawah badan) pada Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang menutup tirai temasya, kelmarin, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini.

Atlet berusia 34 tahun itu menyempurnakan lontaran 8.04 meter (m) untuk memenangi acara tersebut buat Johor, sementara, wakil Sabah, Elvsius John meraih pingat perak menerusi catatan 7.92m dan Aliff Shafiq Muhamad dari Selangor melakukan balingan sejauh 7.82m untuk membawa pulang gangsa.

Ketika ditemui pemberita, Fakri berkata, kemalangan motosikal yang berlaku 16 tahun lalu telah mengubah episod kehidupannya daripada seorang remaja yang dilahirkan sempurna, bertukar status kepada orang kelainan upaya (OKU).

“Kemalangan itu berlaku di Segamat pada 2006, saya hilang kawalan sehingga menyebabkan saya terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan.

“Saya tercampak, tetapi, kaki kiri saya tertinggal di motosikal. Kemalangan itu menyebabkan saya hilang sebelah kaki, saya ambil masa setahun untuk terima hakikat, mujurlah keluarga dan isteri pada masa itu teman wanita sentiasa beri sokongan,” katanya.

Fakri yang aktif bermain bola sepak sebelum kemalangan menimpanya memberitahu, walaupun telah bergelar OKU, dia tetap mahu aktif dalam bidang sukan dan usaha itu telah membawanya kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

Daripada situ, bapa kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan, dia kembali aktif bersukan dan berjaya mewakili Malaysia untuk bola sepak orang kudung.

“Saya mewakili negara pada kejohanan bola sepak orang kudung untuk kelayakan Piala Dunia di Bangladesh, Malaysia menamatkan aksi di kedudukan ketiga.

“Kita gagal layak ke Piala Dunia di Turki, selepas hanya dua slot yang diperlukan dan kita pula tumpas kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir,” ujarnya.

Ketika ditanya pembabitannya dalam sukan olahraga para pula, menurut Fakri, dia berbuat demikian kerana mahu mengisi masa lapangnya dan tidak sangka pula berjaya memenangi emas pada penyertaannya di Sukma kali ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.