Trend kediaman moden hari ini telah menunjukkan ramai pemilik rumah beralih kepada konsep yang lebih fleksibel, santai dan tidak terlalu terikat dengan satu gaya tertentu.
Keunikan setiap konsep juga terletak pada kebebasan menggabungkan pelbagai tekstur, warna, dan perabot daripada gaya yang berbeza tetapi masih kelihatan seimbang dan tersusun.
Bagi Aina Nabila Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Aina Beyla, dia memilih konsep modern eclectic yang menggabungkan pelbagai elemen reka bentuk secara harmoni.
Katanya, dia mengetengahkan konsep tersebut kerana dapat menggabungkan elemen mid-century modern dengan sentuhan organik yang lebih santai.
“Saya memilih palet warna neutral seperti putih, krim dan kayu gelap sebagai asas kemudian disuntik dengan warna-warna hangat melalui kerusi, karya seni dan aksesori dekorasi,” katanya.
Ujar Aina, inspirasi utama konsep tersebut datang daripada kediaman di negara Scandinavia dan Jepun yang terkenal dengan elemen kesederhanaan serta penggunaan pencahayaan semula jadi.

Menurutnya, kedua-dua gaya tersebut memberi penekanan terhadap susun atur yang kemas, praktikal dan tidak terlalu sarat dengan dekorasi.
“Hasil gabungan elemen itu menjadikan keseluruhan kediaman tampil tenang, lapang dan selesa untuk didiami dalam jangka masa panjang.
“Malah, penggunaan warna neutral pada dinding dan perabot utama membantu mewujudkan ilusi ruang yang lebih luas,” ujarnya
Dalam masa sama, aksesori dekorasi seperti kusyen, karya seni, lampu dan tumbuhan hiasan digunakan bagi memberi karakter kepada setiap ruang.
Konsep Tak Lapuk Dek Zaman
Aina berkata, dia memilih gaya modern eclectic kerana konsep itu lebih bersifat timeless dan tidak mudah lapuk ditelan peredaran trend.
“Berbanding konsep yang terlalu mengikut trend, gaya modern eclectic memberi kebebasan untuk mencampurkan pelbagai elemen, tekstur dan perabot tanpa kelihatan bercelaru,” ujarnya.
Dengan penggunaan warna asas yang neutral menampakkan ruangan kelihatan terang dan luas serta dekorasi boleh ditukar atau ditambah pada bila-bila masa tanpa perlu melakukan perubahan besar terhadap keseluruhan konsep.
Pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan kos malah membolehkan kediaman sentiasa tampil segar mengikut perkembangan gaya hidup pemiliknya.
Dari segi kos, Aina menjelaskan dekorasi rumah tersebut tidak melibatkan pengubahsuaian besar atau kerja renovasi yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Sebaliknya, kos yang dikeluarkan lebih tertumpu kepada pembelian perabot dan aksesori dekorasi yang dipilih secara berperingkat.
“Selepas menetap selama sebulan, saya boleh katakan rumah ini sudah siap dengan dekorasi yang saya inginkan.
“Bagaimanapun, hampir setiap bulan pasti ada dekorasi baharu yang ditambah atau perubahan susun atur perabot dilakukan bagi memberi nafas baharu kepada ruang,” katanya.
Sudut kopi Di Rumah Sendiri
Sudut kopi menjadi ruang paling istimewa buat dirinya dan suami kerana ruang tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menyediakan kopi malah menjadi lokasi tumpuan ahli keluarga serta tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Sudut kopi adalah ruang kegemaran suami saya kerana dialah yang akan menjadi barista untuk saya dan tetamu yang datang ke rumah.
“Tetamu juga suka bersantai dan berkumpul di sudut kopi ini kerana mereka dapat melihat sendiri cara kopi disediakan,” katanya.

Selain mewujudkan suasana santai, ruang itu turut menjadi tempat interaksi yang mengeratkan hubungan antara tuan rumah dan tetamu.
Dalam masa yang sama, sebahagian besar perabot yang menghiasi kediaman tersebut diperoleh melalui kaedah pembelian barangan terpakai.
Tambah Aina, dia gemar mencari perabot unik menerusi aplikasi Facebook Marketplace dan Carousell kerana banyak pilihan menarik pada harga yang lebih berpatutan.
Gabungan perabot lama dan baharu secara tidak langsung memberikan karakter tersendiri kepada kediamannya.
Walaupun tiada pengubahsuaian dilakukan, pelbagai elemen dekorasi ditambah bagi memastikan ruang utama tampil menarik dan selesa.










