ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) berharap kemelut melanda gabungan itu ekoran tiada lagi kerjasama politik antara Pas dan Bersatu dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan peringkat tertinggi gabungan itu dijangka boleh memuktamadkan perkara tersebut tidak lama lagi.
“Pas sendiri akan berbincang di peringkat kepimpinan tertinggi minggu depan, saya rasa sudah dimaklumkan oleh Presiden Pas bahawa pada Rabu ini akan ada perbincangannya dan selepas itu baru kita tahu macam mana kita nak bergerak ke depan.
“Kita Pas sudah tidak ada hubungan dengan Bersatu. Jadi, tentulah perbincangan dalam PN pun akan dilakukan berdasarkan komponen yang ada. Insya-Allah kita cuba selesaikan (sebelum PRN),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pas Kedah, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 11 Julai, manakala bagi Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini melibatkan seramai 3.61 juta pengundi berdaftar.
Mengulas persediaan menghadapi kedua-dua PRN itu dalam keadaan PN berdepan kekalutan, Ahmad Samsuri mengakui perjalannya agak berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini termasuk yang terakhir di Sabah.
“Ini adalah keadaan yang agak luar biasa lagi lah berbanding dengan pilihan raya yang lalu di mana pilihan raya yang berturut-turut, pilihan raya yang begitu hampir antara dua negeri yang berbeza.
“Jadi, tentulah pertimbangan yang lebih teliti perlu dilakukan oleh Pas bersama dengan PN untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Kita masih lagi akan menilai bagaimana cara dan kaedah yang terbaik,” ujarnya.
Malah, Naib Presiden Pas itu turut percaya jenama PN masih kukuh untuk mengharungi pilihan raya akan datang.
“Jenama PN telah melalui proses pilihan raya termasuklah pilihan raya kecil dan pilihan raya di Sabah. Ianya adalah satu brand yang sudah established, jadi saya rasa tidak ada masalah untuk menghadapi pilihan raya.
“Sama juga dengan brand-brand lain terutama Pas umpamanya yang sudah established, kita sudah hadapi pilihan raya selama puluhan tahun,” katanya.-UTUSAN










