Saya serius, jadi kelakar hanya dengan isteri - Remy Ishak - Utusan Malaysia

Saya serius, jadi kelakar hanya dengan isteri – Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Remy Ishak mengakui dirinya seorang yang serius dan tegas, namun mempunyai sisi humor yang hanya ditonjolkan ketika bersama keluarga, khususnya isterinya, Ezza Yusof.

Menurut Remy, 44, sisi tersebut cukup istimewa dan hanya dikongsi bersama isteri sebagai sebahagian daripada kemesraan dalam rumah tangga.

“Saya bukanlah seorang yang kelakar. Sebenarnya saya agak garang. Cuma isteri saya suka ‘mengaibkan’ saya. Saya hanya berjenaka di sisinya sahaja, tetapi dia gemar memuat naik video di media sosial sehingga orang ramai menganggap saya seorang yang kelakar.

“Jadi, orang sangka saya juga begitu di luar. Hakikatnya, saya hanya menunjukkan sisi itu kepada dia kerana dia istimewa bagi saya. Itu adalah sisi peribadi dalam rumah tangga, hak saya dan keluarga.

“Disebabkan itu, sekarang saya mula menyemak terlebih dahulu video yang mahu dimuat naik olehnya,” katanya sambil ketawa ketika ditemui pada sidang media drama Khadam, baru-baru ini.

Mengulas mengenai label ‘sombong’ yang mudah diberikan kepada artis, pelakon yang pernah digelar Hero Malaya itu tidak menafikan sengaja meletakkan batas tertentu demi menjaga privasi dan ketenangan keluarga.

Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir peminat yang disifatkannya kurang menghormati situasi sensitif, terutama ketika dia sedang menguruskan ahli keluarga yang sakit.

“Ada peminat yang berjumpa kita tanpa mengira keadaan dan memberikan komen yang kurang baik. Pernah ketika saya berada di hospital bersama ahli keluarga yang sakit, mereka tidak menghiraukan keadaan tersebut dan tetap mahu bergambar.

“Apabila kita menolak, kita terus dilabel sombong. Begitu juga ketika bekerja. Sedang fokus menghayati watak, tiba-tiba ada yang menjerit memanggil ‘Woi Remy’ seperti kawan rapat.

“Saya tidak kenal dia. Walaupun dia mengenali saya, adab tetap perlu dijaga,” katanya.

Tambah Remy, individu yang gemar melabel artis sebagai sombong atau tidak mesra seharusnya bermuhasabah dan menilai semula tingkah laku sendiri, termasuk di media sosial.

“Mereka yang bersikap begini selalunya akan mengatakan artis tidak baik.

“Namun, cuba lihat semula diri sendiri, hantaran di media sosial pula dipenuhi kata-kata kesat dan maki hamun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN