Malaysia tamat kemarau 39 tahun, juara Piala Sultan Azlan Shah

Malaysia tamat kemarau 39 tahun, juara Piala Sultan Azlan Shah

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bersama pemain Malaysia meraikan kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan Piala Sultan Azlan Shah selepas mengalah Korea Selatan pada perlawanan akhir di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas 39 tahun menanti, Malaysia akhirnya memahat sejarah menjulang kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi sengit 3-2, sebentar tadi.

Jaringan Shello Silverius, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Muhammad Aminuddin Mohd. Zain memastikan kemenangan bersejarah Speedy Tigers, sekali gus menjadi penyuntik semangat untuk menghadapi Piala Dunia tahun depan.

Kemenangan itu juga membalas dendam atas kekalahan 0-3 kepada Korea dalam aksi pembukaan, 11 hari lalu.

Sejak dianjurkan pada 1983, penampilan terbaik Malaysia adalah muncul naib juara lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Kemenangan itu juga amat bermakna buat Razie yang membuat penampilan ke-301 bersama skuad kebangsaan.

Dua jaringan Korea Selatan pula dihasilkan oleh Jang Jonghyun menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-16 dan Jeon Byungjin, minit ke-58.

 

Dalam perlawanan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pemain Malaysia berjuang hingga ke wisel penamat untuk menafikan kemaraan Korea Selatan.

 

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara kejohanan Piala Sultan Azlan Shah selepas mengalah Korea Selatan pada perlawanan akhir di Ipoh hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Menghadapi tekanan hebat apabila diasak anak-anak buah Shin Seok Kyo, pemain Malaysia kental bertahan dan bijak menggunakan peluang untuk memerangkap lawan.

Walaupun Korea Selatan mendapat 10 pukulan sudut penalti, kecuali satu sembilan lagi gagal diterjemahkan menjadi gol.

Kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati menyaksikan bola tidak memasuki kawasan D masing-masing.

Bagaimanapun dari satu hantaran jauh Shello yang dinobatkan ‘pemain terbaik Kejohanan’ menghulur kayu untuk memandu bola ke dalam gol pada minit ke-15.

Bagaimanapun Korea Selatan menyamakan kedudukan se-minit suku kedua berlangsung apabila Jang Jonghyun menguis oencang melepasi penjaga gol terbaik, Hafizuddin Othman pada minit ke-16.

 

 

Kata-kata semangat dalam bilik persalinan menyaksikan kebangkitan anak-anak Arul Selvaraj pada suku ketiga.

Pemain Malaysia, yang turun selaku pasukan No. 10 dunia  bagai mendapat semangat baharu apabila melancar serangan ke kubu lawan.

Usaha mereka berhasil apabila Malaysia dihadiahkan penalti stroke yang disempurnakan oleh pemain terbaik perlawanan, Razie pada minit ke-45 untuk menceriakan kira-kira 8,000 penonton.

Mohammed Aminuddin melebarkan jurang gol tiga minit kemudian.

Walaupun Korea Selatan berjaya merapatkan jurang dua minit sebelum tamat melalui Byungjin tetapi ia sudah terlambat untuk menyelamat pasukan No. 12 dunia itu.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.