fbpx

Shahida nekad undur diri

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) menyampaikan insentif kemenangan kepada Shahida Asyiqin Rusli pada Majlis Apresiasi Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Atlet kanu sensasi Terengganu, Shahida Asyiqin Rusli, nekad dengan keputusan untuk mengundurkan diri daripada sukan itu selepas cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menurutnya, langkah untuk bersara muda pada usia 18 tahun bukan keputusan yang sukar apatah lagi ‘cara’ kemasukan ke skuad kanu Terengganu juga bukan sesuatu yang dirancang.

Shahida Asyikin berkata, dia mahu menyambung pengajian di peringkat Diploma dan memberi tumpuan terhadap pelajaran sambil menegaskan keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi sesiapa.

Justeru itu, atlet kelahiran Kampung Kuala Ibai itu mengakui tiada apa yang boleh mengubah pendiriannya itu meskipun berpeluang cerah mewakili negara pada Sukan Sea 2023 serta Sukma 2024.

“Sekarang ini saya sudah tidak lagi berlatih bersama pasukan. Memang rasa rugi tetapi awal penglibatan dulu pun sekadar suka-suka dan tidak sangka boleh mengecapi kejayaan hari ini.

“Sebelum bermula Sukma 2022 lagi saya sudah membuat keputusan ini dan berfikir, ini adalah Sukma pertama dan terakhir saya. Saya sudah tidak mahu terlibat lagi.

 

“Keputusan ini juga sudah muktamad. Ahli keluarga ada memberi kata-kata semangat dan mahu saya terus kekal namun saya memang sudah nekad dan mereka faham.

“Saya masih menunggu tawaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan sains sukan dan jika mahu aktif, saya hanya akan menyertai kejohanan peringkat fakulti atau universiti sahaja.

“Saya tidak berharap apa-apa walaupun orang sekeliling mengatakan saya boleh bermain di Sukan Sea 2023. Jangan kan Sukan Sea, Sukma sekali pun saya sudah tidak mahu bermain,” jelasnya selepas menerima insentif kemenangan Sukan SEA (Sukma) Kontinjen Terengganu keseluruhan bernilai RM35,000 daripada kerajaan negeri di sini, semalam.

Jelas Shahida Asyiqin lagi, dia berhasrat dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pada sesi kemasukan, awal tahun depan

Tambahnya, tiada perkembangan terkini berhubung usaha pihak kerajaan negeri membantu mendapatkan tempat di IPT di dalam Terengganu sebagai destinasi bergelar mahasiswi.

“Memang kalau diikutkan saya nak duduk di Terengganu kerana dekat dengan keluarga. Namun kalau tiada rezeki, saya berkemungkinan akan melanjutkan pelajaran di UPSI.

“Jika terpilih beraksi ke kejohanan peringkat universiti, saya masih boleh berkompromi tetapi jika diminta mewakili negeri atau negara, saya sudah tidak mahu,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN