PETALING JAYA: Latihan dan aksi persahabatan bersama pasukan dari Asia Barat atau Jepun menjadi keutamaan skuad bawah 16 tahun (B-16) Malaysia sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-17 tahun depan.
Ketua Jurulatih Malaysia B-16, Osmera Omaro berkata, perancangan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemain yang bakal berdepan tentangan jauh lebih sengit berbanding peringkat kumpulan.
“Walaupun cemerlang, namun masih banyak aspek perlu diperbaiki.
“Salah satu cara terbaik adalah memberi pendedahan menentang pasukan kuat dari Asia Barat atau Jepun bagi mereka mendapatkan pengalaman bermain pada intensiti yang sama dalam pusingan kelayakan kali ini,” katanya.

Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia B-17 2023 selepas mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata.
Pasukan negara menang tiga kali dan seri satu dalam empat aksi kelayakan yang berlangsung di Bogor, Indonesia.
Hanya 10 juara kumpulan dan enam naib juara kumpulan terbaik layak ke pusingan akhir yang belum ditentukan lokasinya selepas Bahrain menarik diri sebagai tuan rumah.

Pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Indonesia, Malaysia memulakan kempen dengan menumpaskan Palestin 4-0, diikuti seri 1-1 menentang Guam sebelum mengejutkan pasukan pilihan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dan melengkapkan saingan dengan membenam cabaran tuan rumah, 5-1.
Ini kali keenam skuad muda kebangsaan layak ke pentas Piala Asia B-17 selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 selaku tuan rumah.
Pencapaian terbaik skuad muda di saingan berprestij itu adalah pada edisi 2014 apabila layak ke suku akhir, namun gagal ke saingan seterusnya selepas tewas tipis 1-2 di tangan Australia.