Penalti ‘bunuh’ Sang Kenari

Penalti ‘bunuh’ Sang Kenari

BIARPUN mendahului 1-0 menerusi Ronald Ngah Wanja, namun Kedah terpaksa akur tumpas 1-3 kepada JDT di depan hampir 15,000 penonton di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. - KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin Sahak menyifatkan sepakan penalti diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minit ke-59 telah mengubah segala-galanya ketika Sang Kenari tunduk 1-3 kepada Harimau Selatan di laman sendiri kelmarin.

Menurut pengendali dari Si­ngapura itu, sepakan penalti ­Leandro Velazquez merentap semangat pemain-pemain mereka yang rata-ratanya masih muda.

Situasi itu diburukkan lagi dengan kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertaha­nan pada minit ke-78 yang mem­boleh­kan Afiq Fazail me­nyumbat gol ketiga JDT.

“Kami melaksanakan pelan yang baik pada separuh masa pertama namun di babak ke­dua, penalti itulah yang gubah segala-galanya.

“Ketika itu kami dalam momentum baik dan mengikut perancangan, kami mahu serap segala tekanan terlebih dulu hingga minit ke-65 sebelum buat pertukaran bagi membentuk serangan.

“Penalti itu tiba terlalu awal dan itu menjatuhkan moral pemain. Saya tidak mahu komen sama ada betul atau tidak keputusan memberikan penalti tetapi jika ia tidak berlaku, perlawanan pasti berbeza,” katanya.

BERGSON da Silva menjadi ancaman terbesar Kedah, namun ketiadaannya selepas dibuang padang pada hujung babak pertama tidak langsung menjejaskan JDT dalam aksi Liga Super di Alor Setar kelmarin. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Dalam perlawanan dibanjiri 15,000 penonton termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Kedah tampak berpeluang meraih kemenangan apabila tonggak penyerang JDT, Bergson da Silva dibuang padang pada minit ke-45 kerana mengasari Rodney Celvin ketika kedudukan 1-1.

Harapan menggunung penyokong hijau kuning untuk menjinakkan jagoan selatan lebur apabila JDT pula yang tampak menguasai permainan di sepanjang 45 minit separuh masa kedua, hingga berjaya menambah dua jaringan.

Begitupun, di sebalik kesila­pan yang dilakukan anak-anak buahnya itu, Aidil tetap gembira dengan komitmen ditampilkan pemain,

“Bukan mudah untuk beraksi menentang pasukan besar se­perti JDT dan kita tahu bahawa pemain-pemain kami sedang belajar dan anda tidak boleh salahkan bakat-bakat muda ini.

“Kami jelas tewas kepada pasukan lebih baik malam ini dan saya fikir pemain-pemain muda ini akan bertambah baik selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan. Insya-­Allah, mereka akan kembali dengan lebih baik dalam aksi seterusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya